Nik Nasarudin dilantik KSU KPM baharu

Nik Nasarudin dilantik KSU KPM baharu

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang mengumumkan perkara itu berkata Nik Nasarudin Mohd Zawawi mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang.

Nik Nasarudin Mohd Zawawi dilantik sebagai ketua setiausaha Kementerian Pendidikan berkuat kuasa hari ini. (Gambar Facebook Mohd Zuki Ali)
PUTRAJAYA:
Nik Nasarudin Mohd Zawawi dilantik sebagai ketua setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Nik Nasarudin, 57, berkhidmat dengan perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan bermula sebagai guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah pada 12 Jan 1988, sebelum dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 16 Dis 1996.

Zuki dalam kenyataan berkata, Nik Nasarudin berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk perancangan, pelaksanaan, pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan.

Lulusan sarjana ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya (UM) itu memperoleh pengalaman tersebut selepas berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

“Dengan pengalaman dan kredibiliti dimilikinya, saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi kementerian (KPM) untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani,” kata Zuki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.