Kami tak dibayar gaji minimum, keluh pekerja kontrak

Kami tak dibayar gaji minimum, keluh pekerja kontrak

Kira-kira 50 pekerja kontrak menyerahkan memorandum kepada wakil PMO, menyeru agensi berkaitan menyegerakan bayaran kepada vendor.

S Tinagaran (depan, empat dari kanan) bersama kira-kira 50 pekerja kontrak berhimpun di depan Pejabat Perdana Menteri hari ini.
PUTRAJAYA:
Kira-kira 50 pekerja kontrak mendakwa majikan mereka tidak dapat membayar gaji minimum RM1,500 kepada mereka berikutan kelewatan agensi kerajaan menjelaskan bayaran.

Anggota Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang berkumpul di luar Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini berkata, mereka mewakili pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah serta hospital kerajaan di pelbagai negeri.

Penyelaras JPKK Negeri Sembilan, S Tinagaran berkata, majikan pekerja kontrak itu mendakwa pejabat pendidikan dan kesihatan daerah belum menyalurkan dana untuk membayar pekerja berdasarkan gaji minimum baharu.

“Tetapi, adakah itu masalah kami? Pekerja-pekerja ini hanya dibayar RM1,200 hampir setahun,” katanya sambil menegaskan gaji minimum baharu RM1,500 berkuat kuasa sejak 1 Mei 2022.

Beliau menggesa kerajaan mempercepatkan bayaran kepada vendor supaya mereka boleh mula membayar gaji minimum RM1,500 kepada pekerja kontrak.

Katanya, Putrajaya perlu menyemak sama ada vendor mempunyai keupayaan kewangan untuk membayar gaji penuh pekerja.

“Apabila mereka kekurangan dana, mereka tidak mampu mendahulukan wang mereka untuk membayar gaji dan tidak mampu membayar gaji minimum RM1,500.”

Wakil JPKK Negeri Sembilan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada wakil PMO. Mereka juga meminta mesyuarat rasmi dengan PMO untuk menyelesaikan isu itu.

Untuk jangka panjang, Tinagaran berkata, kerajaan harus menyingkirkan vendor pihak ketiga dan membenarkan agensi kerajaan mengambil pekerja kontrak ini secara terus.

“Apabila pekerja diletakkan terus di bawah kerajaan, mereka tidak perlu bergantung kepada vendor untuk membayar gaji mereka. Ia akan datang terus daripada kerajaan.”

Seorang tukang cuci yang hanya dikenali sebagai Dewi berkata, gaji diperolehinya terlalu kecil untuk menampung keperluan keluarga dan mengeluh kerana aduannya tidak diendahkan.

“Apabila kami mengadu kepada ketua, kami diberitahu jumlah kontrak terlalu kecil untuk gaji minimum dibayar. Apabila kami membuat laporan, tiada tindakan diambil,” dakwanya.

Susulan pelaksanaan gaji minimum baharu pada Mei 2022, Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Saravanan berkata, pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di kemudahan kerajaan tidak akan dibayar gaji minimum baharu kerana kontrak mereka belum diperbaharui.

Katanya, pekerja itu terikat dengan syarat dalam kontrak sedia ada berdasarkan gaji minimum sebelum ini sebanyak RM1,200.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.