Spekulasi Tengku Zafrul tanding Sungai Kandis: PKR enggan lepas kerusi pada Umno

Spekulasi Tengku Zafrul tanding Sungai Kandis: PKR enggan lepas kerusi pada Umno

Tiada pertikaian di 40 kerusi DUN dimenangi PH dan lima kerusi oleh BN pada PRU14 namun fokus perbincangan agihan kerusi ketika ini tertumpu kepada kerusi disandang PN.

Spekulasi Tengku Zafrul Aziz bakal bertanding pada PRN Selangor bertiup kencang susulan penyertaannya dalam Umno Bahagian Kota Raja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR Selangor tidak berhasrat melepaskan kerusi DUN dimenangi kepada “rakan baharunya”, Barisan Nasional (BN) termasuk Sungai Kandis yang dilaporkan diintai Tengku Zafrul Aziz untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Pilihan Rayanya, Yahya Sahri, berkata pendirian itu sudah dinyatakan dalam perbincangan tidak rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN berhubung soal pengagihan kerusi di Selangor bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan sebelum Jun.

Menurutnya, tiada pertikaian di 40 kerusi DUN dimenangi PH dan lima kerusi oleh BN pada PRU14, namun fokus perbincangan agihan kerusi ketika ini tertumpu kepada kerusi disandang Perikatan Nasional (PN).

“Itu (Tengku Zafrul bertanding) terpulang kepada BN atau Umno. Tetapi kalau dia hendak bertanding (kena) ikut agihan kerusi BN yang ada,” katanya kepada FMT.

Spekulasi menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu bakal bertanding pada PRN Selangor bertiup kencang susulan penyertaannya dalam Umno Bahagian Kota Raja yang di bawahnya terdapat tiga DUN iaitu Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa.

Ketika ini, Sungai Kandis diwakili Exco Selangor Zawawi Ahmad Mughni manakala Sentosa pula disandang Pegawai Khas Perhubungan Menteri Besar Selangor G Gunarajah yang juga ketua PKR Kota Raja.

Kota Kemuning pula diwakili seorang lagi Exco Selangor V Ganabatirau yang juga Ahli Parlimen Klang.

Pada PRU15, Tengku Zafrul bertanding di Parlimen Kuala Selangor dan tewas kepada calon PH Dzulkefly Ahmad. Beliau bagaimanapun dilantik sebagai menteri dalam Jemaah Menteri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Yahya yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR berkata perbincangan di peringkat akar umbi pada dasarnya positif mengenai kerjasama antara PH dan BN, malah gerak kerja menghadapi PRN sudah bermula di peringkat bawah.

“Masing-masing mengakui perlunya ada kerjasama sebagaimana terbentuknya kerajaan perpaduan (di peringkat pusat) dan ia diakui, tetapi bentuk (kerjasama) bagaimana, masing-masing masih tunggu dan lihat,” katanya.

Pada 11 Jan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata bentuk kerjasama antara PH dan BN menjelang PRN diharap dapat diputuskan pada akhir bulan lalu. Namun sehingga kini tiada keputusan rasmi dibuat.

Menjelaskan perkara itu, Yahya berkata perbincangan masih berjalan antara kedua-dua gabungan dan keputusan muktamad dijangka dapat dicapai bulan ini.

“Sebarang keputusan perlu mendapat mandat pimpinan pusat kedua-dua parti. Jadi proses itu kena tunggu, setakat ini perbincangan amat positif sebab kita mahu selaras dengan kerajaan pusat,” katanya.

Ketika ini PH memiliki 40 kerusi iaitu PKR (19), DAP (15) dan Amanah (6). BN mempunyai lima kerusi manakala PN mewakili lima kerusi membabitkan Bersatu (4) dan PAS (1) sementara Pejuang (2), bebas (3), Warisan (1).

Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.