
Hakim Evrol Mariette Peters berkata, perlu diingatkan bahawa peruntukan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 digubal apabila pemisah yang jelas wujud antara peranan suami dan isteri.
“Kebanyakan wanita adalah ibu yang tinggal di rumah dan bergantung kewangan kepada suami mereka, yang merupakan pencari nafkah untuk keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, seluruh generasi telah berlalu sejak akta ini berkuat kuasa, dan peranan tersebut berkembang dari semasa ke semasa.
“Wanita tidak lagi hanya menguruskan hal rumah tangga.
“Zaman telah berlalu di mana wanita dulu hanya duduk di dapur. Justeru, tiada hak automatik bagi seorang wanita untuk menuntut nafkah daripada suaminya,” katanya.
Peters berkata, Seksyen 77(1) akta itu, yang berkuat kuasa pada 1 Mac 1982, menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
Ini menunjukkan bahawa mahkamah mempunyai budi bicara dan mesti mengambil kira semua faktor berkaitan.
“Tidak ada peraturan yang tegas bahawa seorang lelaki mesti menanggung isteri atau bekas isterinya,” katanya apabila enggan memerintahkan bayaran nafkah dituntut seorang wanita, hanya dikenali sebagai GOW, terhadap bekas suaminya (GOS).
Beliau berkata, mahkamah ditadbir mengikut “cara dan keperluan” menurut Seksyen 78 Akta apabila menggunakan budi bicaranya.
“Defendan (isteri) gagal memenuhi ‘keperluan’ dan oleh itu, tidak ada keperluan untuk plaintif memberikan nafkah kepada pasangan,” katanya dalam penghakiman setebal 21 muka surat dikeluarkan pada Isnin.
GOW, seorang warga China, berkahwin dengan GOS pada Ogos 2007. Mereka mempunyai dua anak berusia 15 dan 12 tahun.
Bekas suaminya adalah seorang penganalisis kewangan dan bekerja sambilan sebagai ejen hartanah, selain menjalankan perniagaan kecil berkaitan alat ganti kereta.
Pada September 2016, dia mendapat perintah perlindungan sementara selepas mendakwa meninggalkan rumah sepencarian selepas menderita akibat didera bertahun-tahun oleh bekas suaminya.
Peters bagaimanapun memberikan hak jagaan dan penjagaan tunggal anak kepada ibu serta memerintahkan bekas suaminya membayar nafkah bulanan sebanyak RM4,000 kepada anak-anak.
Dia juga membenarkan akses kepada bekas suami bertemu anak-anak yang tertakluk atas beberapa syarat, termasuk mengelak daripada mengancam atau menyerangnya atau anak-anak.