Mangsa banjir di Sabah, Johor menurun

Mangsa banjir di Sabah, Johor menurun

Jumlah mangsa kedua-dua negeri itu yang masih ditempatkan di PPS kini menurun kepada 1,935 orang setakat malam tadi.

Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Sabah turun mendadak 556 mangsa, manakala di Johor pula dengan 1,379 mangsa setakat malam tadi, kata JPBN. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 1,935 orang setakat malam tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Di Sabah, JPBN negeri itu dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir malam tadi di 12 PPS yang masih beroperasi di tiga daerah turun mendadak kepada 556 mangsa daripada 165 keluarga berbanding 1,641 orang daripada 594 keluarga sebelumnya.

Menurut JPBN, jumlah mangsa banjir di daerah Telupid yang masih berada di lapan PPS di daerah itu ialah 400 orang daripada 113 keluarga, di Paitan 111 orang daripada 40 keluarga di tiga PPS manakala di Lahad Datu seramai 45 orang daripada 12 keluarga di sebuah PPS.

Sementara itu, semua mangsa banjir di daerah Pitas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan PPS di Dewan Kampung Kusilad serta Sekolah Kebangsaan Pekan 2 telah ditutup.

Di Johor, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 1,379 mangsa setakat 8 malam tadi berbanding 1,525 mangsa yang direkodkan pada 4 petang semalam.

JPBN berkata 17 buah PPS masih beroperasi di daerah Batu Pahat, Mersing, Kota Tinggi dan Segamat.

Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 919 mangsa, diikuti Kota Tinggi (223), Mersing (147) dan Segamat (90), menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.