
Mereka berkata, kepakaran dan pengalaman luar diperlukan untuk kes jenayah kolar putih kerana sifatnya yang rumit, banyak dokumentasi dan jangkauan rentas sempadan.
Menurut mereka, kes ini juga menarik perhatian global kerana melibatkan bekas perdana menteri dan sejumlah besar dana awam.
Mereka mengulas kenyataan Peguam Negara, Idrus Harun bahawa perbicaraan 1MDB Najib dan rayuan Rosmah Mansor bagi kes rasuahnya kini dikendalikan TPR sepenuh masa.
Idrus, yang juga bertindak sebagai pendakwa raya, berkata beliau mempunyai keyakinan penuh pendakwanya boleh mengambil alih tugas itu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada peguam persendirian akan menggantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram yang meninggal dunia Ahad lalu.
Peguam, Rafique Rashid Ali berkata, kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB Najib membabitkan dakwaan jenayah terhadap negara dan orang awam.
“Sebagai pendakwa raya, Idrus harus ingat anak guamnya ialah rakyat Malaysia dan beliau mesti menjawab kepada mereka,” katanya.
Bekas pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang jenayah Majlis Peguam itu berkata, mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB telah didakwa dan didapati bersalah di Amerika Syarikat, tetapi bukannya di Malaysia.
Beliau merujuk bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng, yang disabitkan tuduhan rasuah oleh juri AS April tahun lepas atas peranannya membantu menyeleweng ratusan juta dolar daripada 1MDB.
Pendakwa di sana berkata, Goldman membantu 1MDB mengumpul dana sebanyak USD6.5 bilion melalui tiga jualan bon, tetapi USD4.5 bilion disalurkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan antara 2009 dan 2015.
“Dunia sedang memerhati bagaimana pihak pendakwaan akan mengendalikan kes Najib mulai sekarang,” kata Rafique.
Beliau berkata, jika perlu, pendakwa raya mesti bersedia mengupah peguam berkelayakan dan berpengalaman kerana kes 1MDB mengenai kehilangan dana awam.
Peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, Sri Ram tidak mengenakan sebarang bayaran kepada kerajaan apabila bekas peguam negara, Tommy Thomas melantiknya untuk mendakwa dalam kes berkaitan 1MDB serta kes rasuah membabitkan Rosmah pada Ogos 2018.
“Bayaran guaman Sri Ram untuk pelanggan korporat dan individu dalam kes sivil agak tinggi. Bagaimanapun, beliau melakukan khidmat negara dengan tidak mengenakan bayaran satu sen pun kepada pembayar cukai Malaysia,” katanya.
Kenyataan media yang dikeluarkan Thomas pada 31 Ogos 2018 mendedahkan Sri Ram tidak mengambil sebarang bayaran dan bertindak secara pro bono.
Syed Iskandar berkata, peguam negara dan pendakwa raya perlu melantik peguam berpengalaman dengan “minda lincah dan lidah tajam” untuk menandingi pasukan pembelaan Najib yang hebat.
Peguam, Guok Ngek Seong berkata, tiada peguam akan cuba mengendalikan kes 1MDB melainkan diberi imbuhan munasabah.
“Ia kes sukar dan rumit. Seorang peguam yang menyertai pasukan pendakwaan untuk memberi tumpuan kepada kes 1MDB mesti diberi pampasan atas kehilangan peluang menolak kes lain dalam amalan guaman peribadinya,” katanya.
Sri Ram bekerjasama dengan TPR dari Jabatan Peguam Negara sejak 2018 untuk menyelia kertas siasatan dan mengetuai pasukan pendakwaan dalam tiga kes.
Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBank miliknya.
Kes yang bermula pada 2019 itu masih di peringkat pendakwaan, dengan 41 saksi dipanggil setakat ini. Sepuluh lagi saksi, termasuk seorang dari Singapura, akan memberi keterangan sebelum pihak pendakwaan menutup kesnya.
Tahun lepas, Rosmah didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah berhubung projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Sri Ram juga ketua pendakwa raya dalam kes meminda laporan audit 1MDB melibatkan Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy. Mahkamah akan memutuskan jika kedua-dua mereka perlu membela diri atau dibebaskan pada bulan depan.