‘Hidupkan semula’ Majlis Pendidikan Tinggi Negara, kerajaan diberitahu

‘Hidupkan semula’ Majlis Pendidikan Tinggi Negara, kerajaan diberitahu

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) berkata, majlis itu adalah bahagian penting dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) berkata, kemerosotan institusi pengajian tinggi terutama universiti awam adalah kesan campur tangan kerajaan yang berlebihan.
PETALING JAYA:
Sebuah organisasi yang mewakili ahli akademik menggesa kerajaan mengembalikan Majlis Pendidikan Tinggi Negara sebagai badan pembuat dasar bagi pembaharuan pendidikan tinggi.

Majlis Pendidikan Tinggi Negara tidak aktif sejak 2011.

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) berkata, kemerosotan institusi pengajian tinggi terutama universiti awam adalah kesan campur tangan kerajaan berlebihan melampaui apa yang diperuntukkan undang-undang.

Campur tangan Putrajaya boleh dilihat dalam pelantikan naib canselor universiti, ahli lembaga pengarah dan pegawai lain di universiti awam.

“Oleh itu, Majlis Pendidikan Tinggi Negara penting dalam sistem pendidikan tinggi negara, terutama yang berkaitan kuasa menteri,” kata jawatankuasa eksekutif Gerak dalam kenyataan.

Menurutnya, Majlis Pendidikan Tinggi Negara ditubuhkan pada 1996, tetapi lebih 10 tahun ia tidak berfungsi selepas kementerian mengambil alih peranannya sebagai pembuat dasar.

Katanya, kementerian sepatutnya menjadi penjaga yang meluluskan dan memantau penubuhan institusi pengajian tinggi, namun sistem itu telah gagal.

“Kami berpendirian Majlis Pendidikan Tinggi Negara perlu dikembalikan, dan kuasanya berhubung perkara membabitkan keperluan pengajian tinggi perlu diiktiraf dan ditingkatkan,” katanya.

Kenyataan Gerak itu menyusul dua hari selepas kerajaan mengumumkan sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyemak dasar pendidikan tinggi negara dan mengubahnya mengikut situasi semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.