Gangguan jajaran LRT Ampang 2 minggu lagi, kata Loke

Gangguan jajaran LRT Ampang 2 minggu lagi, kata Loke

Menteri pengangkutan memohon maaf, namun menegaskan tindakan itu perlu bagi keselamatan pengguna.

Perkhidmatan LRT jajaran Ampang antara stesen Bandaraya dan Masjid Jamek, digantung bermula Jumaat. (Gambar Bernama)
KLANG:
Gangguan jajaran LRT Ampang antara stesen Bandaraya dengan Masjid Jamek berlarutan dua minggu lagi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

“LRT berhenti di stesen Masjid Jamek dan bas ulang alik bersiap sedia mengambil penumpang ke stesen seterusnya,” kata Loke pada sidang media, di Pelabuhan Barat.

Beliau memohon maaf kepada pengguna komuter berhubung kesulitan, namun menegaskan ia perlu dilakukan demi keselamatan mereka.

“Dua ratus kakitangan Prasarana ditugaskan menangani situasi kerana pembaikan mengambil masa dalam tempoh dua minggu.”

Rapid Rail pada minggu lalu menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya di laluan Ampang susulan kerosakan struktur pada satu tiang yang menyebabkan landasan berhampiran stesen Bandaraya terjejas.

Kerosakan itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan berhampiran.

Sementara itu susulan lawatannya ke Pelabuhan Barat, Loke berkata Klang kemungkinan akan memiliki pelabuhan kedua yang dirancang dibina di Pulau Carey.

“Sudah ada kajian yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang selama dua tahun dan laporan itu sudah dikemukakan kepada kami.

“Kementerian Pengangkutan akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pembinaan pelabuhan baru itu mungkin mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

“Ia mungkin mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 tahun kerana ketika ini kita ada dua pelabuhan di Klang iaitu Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.