DUN Kedah hanya boleh bubar selepas 18 Jun, kata MB

DUN Kedah hanya boleh bubar selepas 18 Jun, kata MB

Sanusi Md Nor berkata, faktor seperti Ramadan, Aidilfitri, Aidiladha dan tempoh ibadah haji menyebabkan pihaknya berpandangan DUN tidak sesuai dibubarkan ketika ini.

Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor berkata, PAS memutuskan untuk menentukan sendiri tarikh pembubaran DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu tanpa berbincang dengan tiga negeri PH.
ALOR SETAR:
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun bagi membolehkan PRN diadakan.

Sanusi berkata, beberapa faktor termasuk Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha menyebabkan pihaknya berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.

“Seperti saya pernah sebut, bulan tiga (Mac) dengan bulan empat (April) puasa dan raya…lepas tu orang pergi haji (kena) tunggu orang balik (dari) haji, (dan) yang penting di Kedah ini, pada 18 Jun ada (sambutan) keputeraan Tuanku Sultan Kedah, lepas itu baru boleh buat apa yang patut.”

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kedah, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata, PAS memutuskan untuk menentukan sendiri tarikh pembubaran DUN di tiga negeri ditadbirnya, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tanpa melibatkan perbincangan dengan tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, pengarah pilihan raya PAS Pusat itu berharap negeri ditadbir PH, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, dapat membubarkan DUN masing-masing bersama tiga negeri PAS supaya PRN dapat diadakan serentak di semua negeri.

“Perbincangan secara tidak rasmi dengan negeri lain ada, macam saya tanya Menteri Besar Negeri Sembilan (Aminuddin Harun), bukan dia sengaja nak bubar DUN pada Mei, tetapi 1 Jun DUN terbubar sendiri.

“Jadi, mahu tidak mahu, dia kena bubar pada Mei atau selewat-lewatnya 31 Mei. Kalau nak disekalikan PRN kena buat dalam tempoh 60 hari, jadi negeri lain dalam tempoh itulah antara 1 Jun hingga 31 Julai. Secara tak rasminya macam itulah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.