Tun Faisal pemimpin Umno terbaru dipecat

Tun Faisal pemimpin Umno terbaru dipecat

Bekas timbalan ketua Umno Bahagian Putrajaya itu menerima surat pemecatan selepas dua tahun digantung keahliannya.

Bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz digantung keahlian selama enam tahun selepas membuat kenyataan terbuka menentang Presiden Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz mengumumkan beliau akhirnya dipecat dari Umno selepas hampir dua tahun keahliannya dalam parti itu digantung kerana secara terbuka menentang Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Faisal dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau menerima surat pemecatan yang dihantar Ibu Pejabat Umno menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 4.28 petang tadi.

Umno pada Mac 2021 menggantung keahlian Faisal yang juga setiausaha akhbar menteri wilayah persekutuan ketika itu, Annuar Musa selama enam tahun kerana membuat kenyataan terbuka menentang Zahid.

Faisal juga menyalahkan Zahid kerana mencetuskan perbalahan dalam Umno dan menuduh beliau mengkhianati penyokong Umno dengan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim membentuk kerajaan perpaduan.

Merujuk kepada surat pemecatan yang diterimanya, Faisal berkata, jumlah kesalahan dan pelanggaran peraturan yang didakwa ke atasnya cukup banyak.

“Cuba bandingkan surat pemecatan saya dengan surat penggantungan Hishammuddin. Kan banyak bezanya. Ini barulah dakwaan pelanggaran peraturan yang betul,” katanya yang turut memuat naik surat penggantungan Hishammuddin Hussein itu.

Kata Faisal kali ini beliau tidak akan merayu pemecatannya itu kerana keputusannya sudah boleh dijangka dan menambah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Zahid tidak terbuka menerima kritikan.

“Jika MKT dan Lembaga Disiplin benar-benar berfungsi, orang yang pertama yang patut dipecat adalah Zahid kerana beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 diikuti 13 pemimpin Umno lain yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri,” katanya.

Faisal adalah pemimpin Umno terbaru dipecat parti itu selepas bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar yang turut menerima nasib sama kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan dan beberapa pemimpin lain termasuk bekas naib presiden, Hishammuddin; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang pula digantung keahlian selama enam tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.