Tak masuk akal tukar penempatan doktor saat akhir, kata bekas timbalan menteri

Tak masuk akal tukar penempatan doktor saat akhir, kata bekas timbalan menteri

Melainkan wujud alasan sahih seperti kecemasan atau tindakan disiplin, pegawai perubatan mesti diberi notis sewajarnya mengenai penempatan mereka.

Doktor berdepan masalah akibat ditukarkan lokasi tugasan pada saat akhir. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pertukaran penempatan pegawai perubatan (MO) pada saat akhir tidak patut berlaku kerana keputusan seperti itu adalah sesuatu yang telah melalui perancangan sewajarnya, kata bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Katanya melainkan wujud alasan sahih seperti kecemasan atau tindakan disiplin, MO mesti diberi notis sewajarnya mengenai penempatan mereka.

“Semua ini sepatutnya operasi yang dirancang, ia bukannya kecemasan jadi kenapa pula dibuat saat akhir?

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sendiri maklum bahawa kakitangan kerajaan tidak boleh dipindahkan dalam tempoh 24 jam. Ia tidak masuk akal,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, JPA dan kementerian kesihatan sepatutnya berkomunikasi dan memastikan itu tidak berlaku kerana doktor terlibat perlu diberi masa untuk membuat persediaan termasuk melibatkan ahli keluarga.

Lee berkata ada jawatankuasa dalam kementerian kesihatan yang memutuskan mengenai penempatan.

“Mereka kerap bermesyuarat mengenai penempatan dan permohonan untuk pemindahan. Jadi perkara (saat akhir) seperti ini tidak patut berlaku,” katanya.

Seorang pengguna Twitter thepettykutty mengongsikan pengalamannya terpaksa dipindahkan pada saat akhir oleh kementerian kesihatan.

Dalam hantaran itu beliau berkata telah dipindahkan dari Pahang ke Kedah sebelum terbang ke Kuching dan akhirnya diberi penempatan dengan jarak tiga hingga empat jam dari situ dengan arahan untuk melapor diri pada keesokannya.

Beliau turut mengongsikan gambarnya bersama bagasinya di tepi jalan.

“Mujur seorang pemandu PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) yang baik hati telah menyelamatkan keadaan. Saya jarang bersuara dalam keadaan seperti ini, tetapi itu antara saat paling sukar dalam kerjaya saya.

“Sistem perlu berubah, sampai bila lagi kami perlu terus begini?” katanya.

FMT telah menghubungi Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa untuk mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.