
“Saya tidak menyokong bengkel untuk (pelajar) Melayu sahaja kerana saya sudah memaklumkan pihak sekolah ia bukan sahaja salah, malah tidak adil. Itulah sebabnya mereka merancang mengadakan untuk yang lain (pelajar bukan Melayu) selepas itu.
“Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk meletak jawatan,” kata Nasution Putra Saad kepada FMT.
Nasution yang berdepan tekanan supaya berundur berhubung kontroversi bengkel itu ketika mesyuarat khas PIBG sekolah itu pada Ahad berkata. beliau enggan berbuat demikian, sebaliknya menuntut undi tidak percaya dijalankan.
“Namun, tiada seorang pun ahli jawatankuasa hadir meneruskan cadangan yang saya kemukakan. Jadi, saya serahkan kepada mesyuarat agung tahunan pada Mac untuk menentukan kedudukan saya,” katanya.
Mengulas mengenai perbelanjaan bengkel terbabit di hotel, Nasution berkata, beliau dibenarkan menandatangani cek berjumlah RM5,000 dan ke bawah bagi mana-mana projek sah mengikut peraturan PIBG.
Minggu lepas, ibu bapa mendakwa mesyuarat PIBG tidak membincangkan penganjuran dua siri bengkel itu, dengan tiada kelulusan diperoleh bagi penggunaan dana untuk bengkel sedemikian.
Sumber memberitahu FMT berkata, ahli jawatankuasa berang apabila Nasution menutup kumpulan sembang Whatsapp PIBG sekolah itu tanpa kebenaran susulan dakwaan isu terbabit dibocorkan ahli.
Nasution mengakui menutup kumpulan sembang itu, namun menegaskan beliau melakukannya kerana tuduhan dan hujah balas sudah menjadi terlalu bersifat perkauman, yang tidak bagus bagi pendidik.
“Tetapi, kami mengambil keputusan bersama membukanya kembali pada mesyuarat Ahad dengan syarat ia hanya digunakan bagi maklumat dan pemakluman. Kami bersetuju tiada seorang pun yang boleh menggunakan platform itu bagi tujuan perbalahan kaum,” katanya.
Semalam, PIBG sekolah berkenaan mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa kontroversi bengkel SPM itu sudah berakhir secara baik susulan semua pihak terlibat sudah memohon maaf.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah juga bersetuju mengamalkan lebih ketelusan mengenai perkara itu pada masa akan datang.