
Katanya, tindakan segera perlu diambil untuk meningkatkan skor CPI negara pada tahun-tahun akan datang dan beliau bimbang dengan kedudukan Malaysia yang lebih rendah daripada negara seperti Namibia.
Beliau berkata, terdapat beberapa punca skor CPI Malaysia jatuh satu mata kepada 47 pada 2022, antaranya termasuk pelaksanaan beberapa pakej rangsangan ketika pandemik.
“Perlu diingatkan pakej rangsangan ini diluluskan tanpa sebarang perdebatan di Parlimen.
“Ahli politik yang mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga antara sebab kejatuhan indeks CPI,” katanya dalam sidang media di sini.
Muhammad berkata, kurang tindakan diambil terhadap penjawat awam yang didapati menyalahgunakan kuasa satu lagi puncanya, tetapi beliau tidak memperincikan kes berkenaan.
Skor CPI Malaysia pada 2022 ialah 47, satu mata lebih rendah berbanding 2021.
Ini bermakna negara mencatatkan penurunan enam mata dalam CPI tahunan TI sejak tiga tahun lalu, daripadanya skor 53 pada 2019.
Muhammad berkata, kerajaan persekutuan perlu memerangi rasuah segera untuk meningkatkan skor CPI negara.
Katanya, skor negara perlu kembali kepada 50 mata ke atas dan “sebarang mata di bawah 50 adalah kegagalan”.
Tegasnya, skor CPI 2022 tidak menggambarkan prestasi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana beliau dilantik memimpin negara pada November lalu, manakala indeks itu dikira September lalu.
“Skor itu hanya akan menggambarkan (prestasi Anwar dalam memerangi rasuah sebagai perdana menteri) apabila CPI 2023 dikeluarkan pada Januari 2024.
“Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada perdana menteri, beliau perlu diberi masa sekurang-kurangnya dua tahun (untuk melihat hasilnya).”