
Dalam surat terbuka kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, kumpulan itu berkata, setiap sektor perniagaan mengalami masalah kekurangan pekerja yang “serius”.
Walaupun mereka mengalu-alukan syarat yang dilonggarkan untuk mengambil pekerja asing, dengan permohonan akan diluluskan dalam tempoh tiga hari bekerja, mereka berkata, mengehadkan kelebihan ini kepada hanya lima sektor tidak praktikal.
“Industri perkhidmatan nampaknya dilepas pandang secara tidak sengaja walaupun kami berada dalam situasi sama, (juga) mengalami kekurangan pekerja,” kata mereka.
“Dengan pembukaan sempadan dan jangkaan lonjakan ketibaan pelancong, industri perkhidmatan berada di barisan hadapan untuk memenuhi pertumbuhan permintaan daripada industri pelancongan.”
Kumpulan itu menambah, ini termasuk sektor hotel, peruncitan, hiburan serta kesihatan, spa dan kesejahteraan.
“Amat mendesak bagi sektor ini dibenarkan memohon pekerja asing (dengan syarat dilonggarkan) tanpa berlengah lagi. Jika tidak, negara mungkin terlepas peluang mengambil kesempatan daripada pembukaan sempadan ini.”
Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata, pelonggaran syarat pengambilan pekerja asing dihadkan kepada lima industri “penting”, iaitu pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian, makanan dan minuman.
Dua belas kumpulan perniagaan itu berkata, terdapat keperluan sekurang-kurangnya sejuta pekerja untuk mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan Putrajaya mesti mengakuinya.
Surat itu ditandatangani bersama oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia, Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia, Persatuan Kesejahteraan dan Spa Malaysia, Persatuan Spa Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia, Persatuan Pemilik Hotel Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia serta Industries Unite.