
Bekas ketua pemuda Umno itu mengakui masih terdapat suara reformis dalam parti namun ketakutan masih membayangi mereka kerana risau akan berdepan tindakan jika bersuara.
“Saya kurang optimis sekarang ini dengan pembersihan besar-besaran ini. Saya risau suara reformis dalam Umno sama ada telah digantung atau dibuang.
“Kalau ada pun mereka terlalu takut, jika terlalu lantang, mereka bakal senasib dengan KJ,” kata Khairy dalam satu wawancara bersama Astro Awani.
Namun, bekas Ahli Parlimen Rembau dan menteri kesihatan itu tetap meletakkan harapan kepada pemimpin dan ahli Umno di peringkat cawangan termasuk pemuda, wanita untuk membawa suara reformis dalam parti itu.
Khairy antara salah seorang pemimpin Umno yang dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini. Seorang lagi pemimpin Umno, Noh Omar yang sepatutnya digantung enam tahun, memilih untuk dipecat daripada parti itu.
Setiausaha Agung Ahmad Maslan dalam kenyataan berkata mereka “dipecat daripada Umno atas pelanggaran disiplin parti mengikut perlembagaan Umno kerana kesalahan sewaktu PRU15”.
Di sebalik keputusan pemecatan itu, Khairy masih meletakkan dirinya sebagai ‘orang’ Umno kerana beliau dibuang dari ‘rumahnya’ dan bukan bertindak meninggalkan parti tersebut.
“Malam ini, awak parti mana? Saya akan jawab saya masih anggap diri saya sebagai orang Umno.
“Saya tak lompat ke mana-mana parti lain, saya dibuang dari rumah saya. Saya masih lagi sayang pada Umno. Tapi sekarang saya tidak ada pilihan kerana saya dicampak keluar,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai cita-cita mahu menjadi perdana menteri, Khairy berkata, ia masih ada dalam dirinya.
Namun katanya, perkara tersebut tidak menjadi perkiraannya dalam menentukan langkah politik beliau yang seterusnya terutama sekali melibatkan parti politik yang mungkin akan disertainya kelak.
“Saya nak kena pilih mana saya rasa serasi, selesa. Saya juga kena fikir bahawa mereka juga rasa selesa dengan saya.
“Saya tak nak masuk ke tempat kita ada rasa syak wasangka antara satu sama lain,” katanya.