Cederakan guru hingga parah, bekas ustazah mengaku tak salah

Cederakan guru hingga parah, bekas ustazah mengaku tak salah

Tertuduh berusia 24 tahun dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dalam kejadian di Sekolah Rendah Agama (SRA) di Melaka Tengah.

Nurul Hidayah Khairuddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang guru pada September lalu.
PETALING JAYA:
Seorang bekas guru Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas tuduhan mencederakan guru wanita lain sehingga parah, September lalu.

Nurul Hidayah Khairuddin, 24, dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Nurul Nadirah Ahmad Ropei, 24, dalam sebuah kelas Sekolah Rendah Agama (SRA) Jaim Taman Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira 2.40 petang, 28 Sept 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J Banusha mencadangkan jaminan RM3,000 dikenakan terhadap tertuduh, lapor Bernama.

Nurul Hidayah yang diwakili peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman bagaimanapun memohon agar jaminan rendah diberikan atas alasan dia diberhentikan selepas kejadian itu.

Majistret Mazan Sinin membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.