Ahli Parlimen DAP minta peguam negara perjelas kenapa serbuan polis tak boleh dirakam

Ahli Parlimen DAP minta peguam negara perjelas kenapa serbuan polis tak boleh dirakam

Lim Lip Eng membangkitkan perkara itu selepas polis didakwa menahan tiga pengunjung pertunjukan muzik dalam serbuan sebuah kafe dan hiburan di Georgetown, Pulau Pinang.

Terdahulu media melaporkan polis menyerbu sebuah persembahan muzik ‘underground’ di Pulau Pinang dan penganjurnya ditahan lebih 12 jam kerana tidak mempunyai lesen persembahan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wakil rakyat DAP menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan apakah rasional operasi pihak berkuasa termasuk polis yang dijalankan secara terang-terangan tidak boleh dirakam oleh orang awam.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, membangkitkan perkara itu selepas polis didakwa menahan tiga pengunjung pertunjukan muzik dalam serbuan sebuah kafe dan hiburan di Georgetown, Pulau Pinang, yang tular di media sosial sejak Ahad kerana merakam pihak berkuasa menjalankan tugas.

“Tindakan penangkapan tiga pengunjung ini disifatkan sebagai tindakan yang menekan orang awam. Tambahan pula, perbuatan merakam yang dianggap ‘mengganggu tugas pihak berkuasa’ pula sangat subjektif dari segi undang-undang.

“Peguam negara perlu menjelaskan apakah rasional operasi pihak berkuasa yang dijalankan secara terang-terangan tidak boleh dirakam, di dalam kes ini mengapakah individu ini ditangkap hanya kerana mengambil rakaman keadaan yang berlaku?

“Bukankah lebih baik operasi dijalankan pihak berkuasa tidak dilakukan secara rahsia (clandestine)? Perkara seperti ini sewajarnya ditunjukkan kepada awam atas dasar ketelusan dalam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jika orang awam tidak dibenarkan merakam, sepatutnya anggota polis yang bertugas dilengkapkan dengan kamera badan.

“Pembelian alatan berkenaan oleh polis sudah dijadualkan pada 2021, kini sudah pun tahun 2023. Bilakah perkara ini akan dikuatkuasakan? Ini adalah isu penting yang perlu dititikberatkan memandangkan kerajaan baru ini mengutamakan reformasi dalam badan kepolisian,” katanya.

Lim turut mendakwa selain tiga pengunjung, polis juga menahan pengusaha kafe pada malam serbuan itu.

Terdahulu, media melaporkan polis menyerbu sebuah persembahan muzik “underground” di Pulau Pinang dan penganjurnya ditahan lebih 12 jam kerana tidak mempunyai lesen persembahan.

Insiden itu tular di media sosial semalam selepas beberapa pemuzik dan pencinta muzik dalam dan luar negara mengulas isu itu semalam.

Persembahan itu berlangsung pada Ahad lalu di Ruas Store, kedai muzik baru di Georgetown.

Salah seorang pemiliknya Shaik Fitri berkata polis menyerbu premis itu kira-kira 11 malam, memeriksa kad pengenalan dan bertanya berkaitan lesen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.