Saya menangis lihat Nhaveen berlumuran darah, kata bapa saudara

Saya menangis lihat Nhaveen berlumuran darah, kata bapa saudara

Saksi itu berkata beliau bungkam melihat mangsa tertelungkup di tempat duduk belakang sebuah kereta dalam keadaan berlumuran darah.

Lima tertuduh termasuk dua juvana didakwa membunuh T Nhaveen pada 9 Jun 2017.
GEORGE TOWN:
Bapa saudara T Nhaveen hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi beliau melihat mangsa tertelungkup di tempat duduk belakang sebuah kereta dalam keadaan berlumuran darah.

D Karunagaran, 41, berkata, beliau bungkam melihat keadaan Nhaveen itu.

“Ketika melihat ‘Boy’ (Nhaveen) saya bungkam. Saya menangis. Saya cuma mahu membawanya ke hospital,” katanya dalam keterangan di hadapan Hakim Radzi Hamid.

Karunagaran pada Jumaat lalu menghubungi ibu Nhaveen menggesa mereka “menuntutnya” dari Minden Heights.

Dalam keterangannya hari ini, Karunagaran berkata sebaik tiba di situ beliau melihat Nhaveen tertelungkup dalam kereta dipandu S Gopinaath, 30, salah seorang tertuduh kes itu.

Karunagaran kemudian menyuruh Gopinaath membawa Nhaveen ke hospital manakala beliau sendiri mengekor menaiki motosikal.

Beliau turut melaporkan kejadian itu di pondok bit polis Hospital Pulau Pinang sebelum Nhaveen dimasukkan ke wad kecemasan.

Mahkamah kemudian mendengar keterangan aktivis Arun Dorasamy yag memaklumkan beliau mula mengambil maklum mengenai kes itu selepas membaca artikel mengenainya dalam FMT dan Malaysiakini yang mendakwa Nhaveen anggota geng “04”.

“Ia membuatkan saya sakit hati, dan ramai orang India (yang mengikuti kes itu) bertanya apa yang boleh dilakukan (NGO Hindu) Agamam Ani dan Pusat Perkhidmatan Hindu,” katanya.

“Ketika itulah saya mengambil inisiatif menghubungi keluarga (Nhaveen dan rakannya T Previin).”

Arun, ketua Hindu Agaman Ani Malaysia dan Pusat Perkhidmatan Hindu, akan meneruskan keterangannya esok.

Gopinaath bersama empat yang lain – J Ragesuthan, 22, S Gokulan, 22, dan dua juvana – didakwa membunuh Nhaveen di sebuah taman di Jalan Bunga Raya antara jam 11 malam dan tengah malam 9 Jun 2017.

Mereka turut didakwa mencederakan Previin berhampiran Karpal Singh Learning Centre di Bukit Gelugor pada malam sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.