Kemelut politik Sabah, Umno isytihar tempoh bertenang

Kemelut politik Sabah, Umno isytihar tempoh bertenang

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memohon agar tiada lagi spekulasi atau kenyataan bercanggah yang dibuat sama ada di pihak Umno dan BN atau GRS.

Ahmad Zahid Hamidi (duduk tengah) bersama pemimpin Umno Sabah dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. (our pix)
KOTA KINABALU:
Umno hari ini mengisytiharkan tempoh bertenang berhubung kemelut politik yang melanda Sabah bagi membolehkan satu penyelesaian secara tuntas dapat dicapai.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata, sepanjang tempoh bertenang berkenaan, beliau memohon agar tiada lagi spekulasi atau kenyataan bercanggah yang dibuat sama ada di pihak Umno dan Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita mengambil tempoh bertenang dalam menangani polemik atau kemelut di Sabah dari segi politik kerana kami berpandangan tiada perkara atau isu yang tidak boleh diselesaikan.

“Sepanjang tempoh bertenang ini, saya mohon tiada spekulasi atau kenyataan yang bercanggah sama ada pihak kami atau pihak sebelah sana, keikhlasan dan kejujuran sesama kita menjadi garis utama,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dan pimpinan Umno negeri yang lain.

Sementara itu, ketika ditanya berapa lama tempoh bertenang itu berjalan, Zahid berkata ia sangat subjektif untuk dihuraikan.

Beliau berkata, pihaknya telah menyusun banyak pendekatan serta kaedah bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah namun menegaskan ia hanya dapat dilaksanakan dengan persefahaman baik semua pihak.

Katanya, fokus Umno dan BN Sabah ketika ini juga adalah agenda rakyat serta memberi pencerahan terhadap kekeliruan yang timbul dalam politik Sabah.

“Jika semua pihak mahu cari penyelesaian terbaik, kita boleh duduk dan cari penyelesaian dalam apa cara sekali pun,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, parti itu belum mengambil apa-apa tindakan terhadap ADUN Umno di Sabah yang bertindak membelakangkan keputusan parti untuk menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, baru-baru ini.

Katanya, tindakan terhadap lima ADUN yang terbabit dalam kemelut di antara Umno BN dan kerajaan negeri itu diputuskan secara berasingan daripada tindakan lain yang dibuat parti itu, sebelum ini dan diserahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk membuat keputusan.

Lima ADUN Umno berkenaan ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), James Ratib (Sugut), Dr Yusof Yacob (Sindumin), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Jasnih Daya (Pantai Dalit).

Kelima-lima mereka bertindak menyokong Hajiji untuk terus mengetuai kerajaan negeri selepas Bung mengumumkan hilang kepercayaan dan mengambil keputusan menarik sokongan daripada kerajaan pimpinannya awal bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.