HDB dan perumahan mampu milik Singapura

HDB dan perumahan mampu milik Singapura

FMT melihat dengan lebih dekat HDB Singapura dan bagaimana ia mungkin dapat menyelesaikan masalah perumahan di Malaysia.

Hari ini, lebih sejuta flat HDB siap di 23 kawasan perbandaran dan tiga estet di Singapura. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Bulan depan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menerima kunjungan kontraktor Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura yang akan berkongsi pengetahuan mereka mengenai pembinaan rumah mampu milik.

Hampir 80% rakyat Singapura tinggal di flat yang ditadbir oleh HDB, dengan 90% daripadanya memiliki rumah sendiri. Flat HDB mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai salah satu model perumahan mampu milik paling berjaya di dunia.

FMT melihat dengan lebih dekat HDB Singapura dan bagaimana ia mungkin dapat menyelesaikan masalah perumahan di Malaysia.

Apa itu HDB?

HDB ialah pihak berkuasa perumahan awam yang ditubuhkan pada Februari 1960 bawah kementerian pembangunan negara Singapura sebagai respons kepada krisis perumahan dialami negara itu.

Selepas penubuhannya, tugas paling mendesak bagi HDB adalah untuk menyediakan perumahan awam kos rendah untuk populasi yang semakin berkembang, terutama kumpulan berpendapatan rendah yang tinggal dalam struktur perumahan usang berisiko tinggi dalam keadaan yang sesak dan tidak bersih.

Dalam tempoh lima tahun pertamanya, HDB melancarkan lebih 51,000 unit rumah dan mengasingkan sekurang-kurangnya 10,000 flat kos rendah, untuk golongan berpendapatan rendah, yang terletak berhampiran kawasan pusat di mana ramai dalam komuniti itu bekerja.

Hari ini, lebih sejuta flat HDB telah siap di 23 kawasan perbandaran dan tiga estet.

Bagaimana HDB berfungsi?

Flat HDB diletakkan bawah sistem berbeza untuk menjamin peruntukan yang adil, iaitu “sistem senarai menunggu”, “sistem tempahan”, “sistem pendaftaran untuk flat” dan kini, “sistem binaan mengikut pesanan (BTO)”.

Flat bawah sistem BTO hanya dibina apabila 65% hingga 70% daripada unitnya ditempah, dengan tempoh menunggu sehingga empat tahun dari tarikh pembinaan bermula.

Untuk membina flat baharu, kerajaan memperoleh dan membangunkan tanah untuk mengubahnya menjadi tapak kediaman. Beginilah lazimnya cara rakyat Singapura mendapat akses kepada flat mampu milik.

HDB turut menyediakan flat untuk disewa oleh keluarga berpendapatan rendah dan sederhana berdasarkan arahan daripada kementerian.

Apa yang dapat dipelajari Malaysia daripada kontraktor HDB?

Perancang tempatan boleh belajar cara flat awal HDB direka bentuk agar menjadi ringkas dan berguna untuk mengoptimumkan penggunaan ruang dan mengekalkan kos yang rendah. Kemudahan pembinaan adalah satu lagi faktor penting ketika itu kerana rumah perlu disiapkan dengan cepat untuk menempatkan semula mereka yang masih tinggal di penempatan setinggan yang tidak bersih.

Menurut bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan Raja Kamarul Bahrin Shah, “pengalaman luas” HDB dalam perumahan awam, terutamanya untuk kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah, akan memberi manfaat buat Malaysia.

Beliau juga berkata, belajar mengawal harga tanah ialah pengajaran utama yang boleh dipelajari Malaysia daripada HDB.

Tanah yang menjadi tapak flat HDB dimiliki oleh kerajaan bagi tempoh pajakan 99 tahun, sekali gus mengurangkan kos pengambilan tanah, membawa kepada lebih banyak rumah mampu milik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.