Gangguan LRT Ampang: DBKL arah henti kerja projek Menara Soho

Gangguan LRT Ampang: DBKL arah henti kerja projek Menara Soho

Arahan itu dikeluarkan berikutan gangguan perkhidmatan LRT laluan Ampang yang berlaku pada 27 Jan lalu.

Pada 27 Jan lalu perkhidmatan LRT bagi laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan memberhentikan kerja serta-merta kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu pemilik projek Cadangan Membina 1 Blok 44 Tingkat Menara Soho (326 unit) dengan satu Basemen di Lot PT 163, Jalan Raja Laut, di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah, berkata arahan itu dikeluarkan berikutan gangguan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Ampang yang berlaku pada 27 Jan lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat bersama wakil daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL iaitu Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Bandaraya, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan serta Jabatan Perancangan Korporat pada 28 Jan lalu.

“Arahan ini dibuat sebagai langkah keselamatan bagi memastikan Apad dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, projek itu kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-karja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone).

“DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Committee atau OSC) akan melibatkan pihak Apad dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan keretapi),” katanya.

Pada 27 Jan lalu, perkhidmatan LRT bagi laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan pemerhatian awal menunjukkan berlaku kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan, dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.