Undang-undang anti-lompat halang sertai parti Hajiji, kata Armizan

Undang-undang anti-lompat halang sertai parti Hajiji, kata Armizan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau bersama tiga Ahli Parlimen lain juga kekal sebagai ahli langsung GRS.

Empat Ahli Parlimen (dari kiri) Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), bertindak keluar Bersatu, pada 10 Dis lalu.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali, tidak akan menyertai Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Hajiji Noor kerana kekangan undang-undang anti-lompat.

Katanya, justeru beliau bersama tiga Ahli Parlimen lain akan kekal menjadi ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata mereka terikat kepada undang-undang anti-lompat yang sudah berkuatkuasa.

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen lain, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

“Status kami kekal sebagai ahli kepada GRS dan kami ahli secara langsung dalam GRS dan kami tidak akan menyertai parti baharu Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkan.

“Jadi, kami kekal sebagai ahli melalui keahlian secara langsung sebagaimana sebelum pilihan raya kita telah pun menjadi ahli secara langsung kepada GRS,” lapor Sinar Harian.

Hari ini, Hajiji yang juga ketua menteri Sabah mengumumkan mengetuai Gagasan Rakyat yang diambil alihnya, selain parti itu sudah diterima sebagai komponen GRS.

GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Pada 10 Dis lalu, bekas ketua Bersatu, Hajiji, berkata pemimpin Bersatu Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS, termasuk membabitkan empat Ahli Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, mengulas tindakan akan diambil Bersatu selepas Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan, kerusi empat Ahli Parlimen itu tidak dikosongkan, Armizan berkata, setakat ini pihaknya menyerahkan keputusan kepada mahkamah.

“Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan, itu hak mereka. Walaupun Speaker Dewan Rakyat telah membuat keputusan sebab di dalam perundangan Persekutuan itu jelas bahawa hak dan juga keputusan itu adalah pada Speaker.

Beliau berkata, setakat ini beliau juga belum menerima sebarang notis daripada pihak berkenaan mengenai perkara itu.

Pada 17 Jan, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berkata parti itu akan merujuk keputusan empat ahli Parlimen GRS tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing ke mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.