
Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata parti itu juga perlu menjalani transformasi agar imejnya dapat dipulihkan selepas kalah teruk pada PRU15.
“Kita kena bangkit sebagai sebuah parti yang kuat. Tidak menumpang orang untuk mendapat sedikit sebanyak pengaruh ataupun kuasa. Kita parti yang mewakili majoriti rakyat Malaysia sebagai parti orang Melayu.
“Jadi takkanlah kita berharap supaya kita duduk sebagai penumpang dan hanya mengharap kepada sedikit jawatan yang tidak memberi makna pun kepada kita,” katanya menurut Berita Harian.
Selain kalah teruk dengan hanya menang di 25 kerusi Parlimen pada PRU15, kemelut dalaman Umno semakin memuncak di pentas Perhimpunan Agung Umno 2022 apabila berlaku konflik dalam isu dua jawatan tertinggi parti yang tidak dipertandingkan.
Ia disusuli dengan tindakan Umno memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya yang dikatakan melanggar disiplin parti pada PRU15.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada Jumaat memutuskan memecat bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar.
Beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein; bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Mohd Sharif dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.