
Timbalan Ketua Umno Sembrong Abd Ghani Abd Rashid menyifatkan hukuman itu tidak wajar turut menuntut penjelasan lanjut dari parti.
“Pertimbangan yang dibuat tanpa proses yang sewajarnya, tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin. Ia juga seolah-olah langsung tidak mengambil kira jasa, pengorbanan dan kesetiaan beliau (Hishammuddin) kepada parti Umno selama ini.
“Atas dasar itu Sembrong menuntut penjelasan dan sebab di atas penggantungan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong antara empat pemimpin Umno yang digantung keahlian kerana didakwa melanggar disiplin parti ketika PRU15.
Tiga pemimpin lain adalah bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang
Umno turut bertindak nekad memecat keahlian bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Noh Omar.
Pemecatan dan penggantungan terbabit dibuat pada mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu.
Sementara itu, Abd Ghani berkata Umno Sembrong akan terus mematuhi nasihat Hishamuddin untuk kekal setia dengan Umno dan berpegang dengan prinsip “kepentingan parti mengatasi kepentingan individu”.
Tambahnya, kepimpinan Umno Sembrong juga akan bersemuka dengan seluruh ahli kawasan itu untuk memberikan pemahaman berhubung isu penggantungan tersebut.
“Ini penting bagi mengelakkan perpecahan di kalangan ahli khususnya di akar umbi,” katanya.
Jelasnya, segala gerak kerja parti juga akan diteruskan seperti biasa, termasuklah melaksanakan sepenuhnya urusan pemilihan Umno selaras arahan yang telah dikeluarkan oleh kepimpinan pusat.