
Beliau yang juga ketua Pemuda DAP, berkata kenyataan dikeluarkan Jabatan Premier Sarawak, semalam, memaklumkan projek itu dibiayai syarikat swasta sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), mengundang “lebih banyak persoalan berbanding jawapan”.
Dalam kenyataan itu, Jabatan Premier Sarawak berkata, tiang bendera itu merupakan projek CSR bersempena ulang tahun ke-60 Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia.
Jabatan Premier Sarawak mengulas berhubung kenyataan dikeluarkan Yii sebelum itu yang mempersoalkan pelaksanaan projek dan penggunaan RM30 juta, yang mana dikatakan boleh dibelanjakan untuk perkara lebih baik demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
“Kerajaan negeri tidak boleh menyokong perkara itu sebagai CSR dan melepaskan tanggungjawab,” kata Yii.
“Penting bagi kerajaan bersikap telus dan berterusan mengamalkan kebertanggungjawaban mengenai perkara itu demi memastikan ia bukan hanya mengubah fikiran selepas mendapat kecaman.
“Lebih penting, kerajaan negeri perlu memastikan tidak ada dana awam digunakan bagi projek berkenaan dan tiada konflik kepentingan dalam perkara itu.”
Beliau juga menggesa kerajaan negeri bukan sahaja mendedahkan identiti entiti swasta berkenaan yang sanggup membelanjakan RM30 juta bagi mendirikan tiang bendera, malah apa jua bentuk urusan sebelum, semasa dan pada masa depan dengan syarikat itu.
Yii yang juga timbalan ketua DAP Sarawak, berkata ini penting bagi memastikan usaha itu tidak digunakan sebagai satu bentuk dorongan atau bayaran balik bagi sebarang kontrak semasa atau akan datang daripada kerajaan negeri.
Tiang bendera yang dicadangkan itu bertinggian 99m, iaitu 4m lebih tinggi berbanding tiang bendera tertinggi negara ketika ini, berada di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Yii berkata, perincian kos projek itu juga penting untuk diperjelaskan.
Beliau berkata, secara perbandingan tiang bendera tertinggi dunia, di Jeddah, Arab Saudi, mempunyai ketinggian 171m dan dibina dengan kos kira-kira USD5 juta, atau RM21 juta, mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
“Timbul persoalan berhubung siapa yang membangkitkan idea projek seperti itu? Jika benar dimulakan entiti swasta, mengapa kerajaan Sarawak meluluskan projek itu di mana banyak lagi keutamaan lain lebih penting,” katanya.
“Sedia maklum keperluan sebenar rakyat Sarawak, kerajaan dengan mudah menasihatkan syarikat “pemurah” ini menggunakan dana sebanyak itu melabur dalam infrastruktur awam, kesihatan, pendidikan atau bantuan makanan kepada golongan miskin dalam masyarakat.
“Sebab itu saya berterusan berpegang kepada keyakinan perkara ini merupakan kes meletakkan keutamaan bukan pada tempatnya.”