
Mereka merujuk kepada penguatkuasaan dasar baru-baru ini dalam pindaan Akta Kerja yang mengurangkan waktu kerja daripada 48 kepada 45 jam seminggu.
Ibrahim Suffian dari Merdeka Center, berkata dasar seperti mengurangkan waktu bekerja cenderung dilihat sebagai berat sebelah oleh majikan, terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ini boleh difahami kerana keperluan untuk mengekalkan perniagaan. Kebanyakannya tidak dapat menambah atau melabur dalam teknologi baharu yang meningkatkan pengeluaran pada masa keadaan masih mencabar dari segi ekonomi,” katanya kepada FMT.

Ibrahim berkata langkah sedikit demi sedikit menghukum perniagaan kecil yang tidak dapat menggaji buruh asing atau tidak mempunyai modal untuk bergerak ke arah perkhidmatan atau pengeluaran bernilai lebih tinggi yang boleh membantu meningkatkan pendapatan.
“Kerajaan harus memainkan peranan secara proaktif dan mengemas kini dasar perolehannya untuk mempertimbangkan gaji dan faedah yang lebih tinggi kepada pekerja,” katanya.
“Kajian semula lebih komprehensif diperlukan terhadap dasar buruh.”
FMT sebelum ini melaporkan majikan tidak berpuas hati dengan dasar waktu kerja, mengatakan ia memudaratkan produktiviti, manakala pekerja mengalu-alukan pengurangan itu.
Lee Hwok Aun, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura, berkata Malaysia memerlukan “kejelasan, komitmen dan usaha mampan” berhubung penggubalan dasar.

“Mengurangkan waktu kerja sepenuh masa adalah selaras dengan matlamat jangka panjang negara untuk menjadi negara produktiviti tinggi, berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi. Piawaian antarabangsa ialah 40 jam seminggu, jadi masih ada lagi kemajuan yang perlu dicapai,” katanya.
Lee berkata negara ketinggalan di belakang dengan undang-undang dan institusi buruh yang masih cuba untuk mencapai norma dan amalan antarabangsa negara berpendapatan sederhana atas.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia agak lewat dalam memperkenalkan gaji minimum berbanding Indonesia dan Kemboja yang pendapatan negaranya lebih rendah.
“Terdapat aduan daripada majikan apabila ia diperkenalkan, tetapi ia akhirnya melalui peralihan itu dan telah diterima secara meluas sebagai intervensi yang sah dan perlu untuk memajukan negara,” katanya.