
Pengerusi Veteran Umno, Othman Desa, berkata “pembersihan” besar-besaran Umno ketika ini bagi memastikan masa depan parti itu terbela dan diterima semula rakyat.
“Mereka yang dikenakan tindakan sebelum ini sepatutnya berjiwa besar dan tidak melakukan sesuatu yang merosakkan lagi Umno dengan menghasut atau jadi batu api.
“Kalau kita kena, jangan libatkan orang lain pula,” katanya kepada FMT mengulas kritikan beberapa bekas ahli Umno susulan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin Umno.
Terdahulu, bekas ketua Umno Ketereh, Annuar Musa berkata, “pembersihan total” yang dilakukan Umno hanya akan menghasilkan lebih banyak “kotoran” kerana punca sebenarnya masih berpaut dalam parti itu.
Beliau yang dipecat Umno pada 8 Dis lalu, berkata rakyat telah memberi isyarat menolak Umno pada PRU lepas, namun parti itu masih bersikap dalam penafian.
Sementara itu, bekas ketua Umno Arau, Shahidan Kassim yang turut digugurkan keahlian kerana bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15, menggelar Umno sebagai parti “tidak siuman” dan ghairah memecat ahlinya.
“Sabar yang kena pecat, kami akan beri pembelaan. Hidup PN,” kata Shahidan ringkas.
Mengulas lanjut, Othman berkata walaupun “pembersihan” Umno itu dilihat sebagai “tindakan tidak popular, namun ia sebagai proses disiplin terhadap mereka yang terlajak membuat tindakan”.
Sambil mengakui Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan sebagai antara pemimpin muda Umno berpotensi, Othman berkata, tanpa disiplin serta hormat kepada ketua, ia hanya melemahkan lagi organisasi.
“Memang mereka (Khairy dan Shahril) pemimpin muda, tetapi mereka terlajak membuat tindakan. Kerap komen (kritik) parti sendiri jadi bila orang luar nampak kita lemah.
“Bukan Umno tidak boleh dikritik tak boleh ditegur tetapi kalau kita tegur cara terbuka, ia boleh melemahkan Umno dan ini telah melanggar peraturan dan perlembagaan Umno,” katanya.
“Apa yang berlaku ini anggap saja sebagai proses disiplin dan tak perlu lagi polemik isu ini.”
Selain Khairy, bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, juga dipecat atas pelanggaran disiplin mengikut perlembagaan Umno pada PRU15.
Umno turut menggantung selama enam tahun bekas naib presidennya, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang.