
Zahid berkata, penjelasan itu akan dibuat dalam satu majlis tidak lama lagi, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun, Zahid yang juga timbalan perdana menteri tidak mengulas lanjut mengenai tarikh atau majlis tersebut.
“Tunggu saya akan jawab. Saya akan jawab dalam satu majlis nanti,” katanya yang dipetik Berita Harian.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi membuat ketetapan memecat bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.
Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada PRU15.
Turut dikenakan tindakan adalah bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.
Terdahulu Khairy dan Shahril memberitahu mereka tidak diberi surat tunjuk sebab atau dipanggil untuk pendengaran di lembaga disiplin sebelum tindakan itu dikenakan terhadap mereka.
Salim juga berkata, beliau tidak mengetahui “dosa” yang telah dilakukannya terhadap Umno sehingga beliau digantung keahlian selama enam tahun.