
Binaan itu dianggap sebagai warisan zaman kegemilangan Pulau Pinang kerana ia merupakan pawagam paling canggih apabila dibuka kira-kira 85 tahun lalu.
Menurut pelan dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), selain membina kondominium itu, pemaju juga memohon untuk memelihara dan menyelenggara deretan 24 rumah kedai warisan di Lorong Kinta yang terletak bersebelahannya.
Projek itu diluluskan oleh MBPP pada 19 Okt tahun lalu. Seorang wakil pemaju memberitahu FMT, ia akan berusaha mengekalkan muka bangunan pawagam itu.
Bagaimanapun, aktivis warisan tempatan kecewa projek itu diberi kelulusan kerana satu lagi pusaka negeri akan dirobohkan.
Mark Lay daripada George Town Heritage Action berkata, menjadi rekod prestasi yang buruk apabila banyak bangunan warisan di negara ini dirobohkan demi keuntungan melalui pembangunan hartanah.

“Berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan aspirasi hari ini, tidak patut selalu dibuat kesimpulan bahawa apabila timbul pilihan antara pemuliharaan warisan dengan pembangunan hartanah, pembangunan diutamakan, terutama apabila ia menjana pendapatan untuk majlis bandar raya,” katanya.
Lay berkata, mengambil kira sejarah Pulau Pinang dan status Tapak Warisan Dunia Unesco George Town, pihak berkuasa harus bertindak melindungi warisan bersama negeri itu untuk generasi akan datang, dan membuat keputusan memihak kepada melindungi aset budaya yang tidak boleh dibaharui.
“Majlis (bandar raya) tidak patut membuat keputusan tentang pemusnahan mana-mana tapak yang dianggap mempunyai nilai warisan sehingga habis semua cara untuk memelihara kelangsungannya.
“Ia juga tidak patut serta-merta memihak kepada pemusnahan apabila ada usul yang dicadangkan kepadanya untuk dipertimbangkan. Pulau Pinang perlu belajar daripada bencana perobohan masa lalu,” katanya kepada FMT.
Dibina dengan kos 70,000 dolar Selat pada 1938, pawagam itu disifatkan oleh akhbar di rantau ini pada masa itu sebagai antara yang terbaik, dilengkapi kerusi diimport dari Amerika dan penghawa dingin berpusat untuk 1,000 orang. Ciri-ciri ini tidak pernah didengar pada masa itu.
Pinang Gazette dan Straits Chronicle pada 1939 melaporkan ia pawagam terbesar seumpamanya di Malaya, dan “gabungan pawagam dan panggung teater kelas pertama”.

Pawagam itu dikatakan berhenti beroperasi pada 1970-an dan tidak lagi digunakan sebelum ia diambil alih sebuah kedai perabot pada awal 2000-an.
Menurut rekod, bangunan itu direka bentuk oleh Charles Boucher, individu yang turut bertanggungjawab mereka bentuk Masjid Zahir di Alor Setar dan Istana Kedah di Jalan Northam.
Ahli perniagaan Gary Nair mengimbau pengalamannya menonton filem Charlton Heston, “Ben-Hur”, di Rex Cinema dengan tiket berharga 40 sen pada awal 60-an.
“Terdapat juga kedai kopitiam yang bagus di sebelah pawagam itu, di mana kami akan makan sepuas-puasnya dengan rakan-rakan. Rex Cinema ialah ikon Pulau Pinang; sayang melihat secebis warisan Pulau Pinang musnah,” katanya.
Seorang pekerja di kopitiam itu yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Hooi, berusia lewat 70-an, berkata kawasan Lorong Kinta dahulunya sibuk, tetapi menjadi lengang selepas pawagam itu ditutup pada 1970-an.
“Rex ialah pusat segala-galanya. Semuanya berdekatan. Dahulu, orang berjalan kaki dari seluruh pekan untuk menonton tayangan tengah malam.
“Panggungnya sangat sejuk sehingga kami terpaksa memakai baju sejuk,” katanya mengenai lokasi yang pernah menjadi popular itu.
FMT menghubungi MBPP dan Datuk Bandar George Town Yew Tung Seang untuk mendapatkan komen.