Sukar peguam negara ambil tindakan berhubung isu Batu Puteh, kata peguam

Sukar peguam negara ambil tindakan berhubung isu Batu Puteh, kata peguam

Pendirian pentadbiran hari ini bertentangan dengan pendirian Pejabat Peguam Negara pada 2021 ketika mempertahankan saman berhubung isu itu.

Pada 2008, ICJ memutuskan Batu Puteh milik Singapura. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Peguam Negara Idrus Harun perlu membuat pertimbangan dengan berhati-hati sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu berhubung isu kedaulatan Batu Puteh kerana Putrajaya mengambil langkah bertentangan sebelum ini, kata seorang peguam.

A Srimurugan berkata, pendirian pentadbiran hari ini bertentangan dengan pendirian Pejabat Peguam Negara pada 2021 ketika mempertahankan saman difailkan seorang lelaki berhubung isu itu.

“Sekiranya saman difailkan, peguam negara akan berdepan dengan tugas yang berat,” katanya.

Srimurugan memberi reaksi kepada kenyataan Idris yang berpandangan tindakan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menarik balik semakan keputusan berhubung Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018 sebagai tidak teratur dan tidak wajar.

Idrus berkata, keputusan itu berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Jan.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga mengkaji syor-syor yang dibuat oleh pasukan petugas khas berhubung isu itu termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office).

Dalam pembelaan terhadap saman yang difailkan Hatta Sanuri pada Mei 2021, kerajaan berkata, Putrajaya memutuskan untuk tidak membuat permohonan semakan selepas menilai pandangan konsultan undang-undang luar negara.

Dalam dokumen mahkamah yang difailkan pada Okt 2021, Mahathir dinamakan sebagai defendan pertama, berpendapat permohonan itu tidak diteruskan demi kepentingan negara dan kerana kos implikasinya.

Pembelaan berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju permohonan semakan itu tidak dibuat.

Pada 2008, ICJ memutuskan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

Penarikan balik permohonan semakan itu direkodkan di ICJ pada 29 Mei 2018.

Keputusan kerajaan, yang dinamakan sebagai defendan kedua, juga dijelaskan oleh Tommy Thomas, peguam negara ketika itu menerusi kenyataan media pada 31 Mei dan 13 Julai 2018.

Kenyataan pembelaan juga berkata, bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin juga menjelaskan penarikan balik itu di Dewan Negara pada 3 Sept 2018.

Bagaimanapun, pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu kerana Hatta tidak mempunyai justifikasi dan locus standi untuk membawa tindakan undang-undang terhadap defendan (perdana menteri dan kerajaan).

Hatta memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi peguam Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, Malaysia masih mempunyai masa untuk memfailkan rayuan kepada ICJ.

Katanya, Artikel 61(5) undang-undang ICJ menyatakan permohonan semakan tidak boleh dibuat selepas 10 tahun daripada tarikh keputusan.

Syed Iskandar berkata, sebagai penasihat kepada kerajaan hari ini, Idris mesti mematuhi arahan kerajaan ketika ini.

Pada Okt 2021, bekas peguam negara Apandi Ali dilantik mengetuai pasukan petugas khas untuk menyemak keputusan menarik balik permohonan itu. Laporan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada tahun lalu.

Pada 13 Okt, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kesilapan oleh Mahathir berhubung tuntutan Batu Puteh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.