Kerajaan putus tak wajar tarik semakan Batu Puteh, kata peguam negara

Kerajaan putus tak wajar tarik semakan Batu Puteh, kata peguam negara

Pada 2018, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan batal keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Batu Puteh merupakan isu sangat penting kerana melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kerajaan berpandangan tindakan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad menarik balik semakan keputusan berhubung Batu Puteh pada 2018 sebagai tidak teratur dan tidak wajar, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Jan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dibuat pada 23 Mei 2008.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas tersebut termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Batu Puteh merupakan isu sangat penting kerana melibatkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

Pada 15 Okt 2022, Mahathir berkata, keputusan penarikan balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 2018 melibatkan Batu Puteh dibuat atas nasihat pegawai dilantik, Apandi Ali.

Beliau berkata, pelantikan Apandi yang juga bekas peguam negara sebagai pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara juga mempunyai konflik berkepentingan.

“Sepatutnya angkat orang lain. Walaupun demikian kalau nak bawa ke mahkamah antarabangsa, biar mahkamah antarabangsa putuskan,” katanya.

Pada 13 Okt, Jemaah Menteri diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh Mahathir terhadap tuntutan kes Batu Puteh, kata Ismail Sabri Yaakob yang juga perdana menteri sementara, ketika itu.

Mahathir berkata, seharusnya negara menerima keputusan telah dibuat ICJ.

“Bagi saya, kita sudah janji dengan Singapura, kita akan terima apa jua keputusan dibuat mahkamah. Lepas itu apabila mahkamah buat (keputusan), kita tak boleh tolak. Kita dah janji,” katanya mengulas keperluan bagi Malaysia menuntut semula Batu Puteh.

Pada 2008, ICJ memutuskan Batu Puteh milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan bawah pimpinan Mahathir menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.