Gantung atau dipecat Umno, KJ ‘pasrah’

Gantung atau dipecat Umno, KJ ‘pasrah’

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, perkara ini bukan lagi kejutan kerana terdapat pemimpin lain juga sebelum ini yang dikenakan tindakan sama oleh MKT.

Khairy Jamaluddin bersedia berdepan sebarang kemungkinan susulan mesyuarat MKT Umno malam ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Khairy Jamaluddin tidak terkejut sekiranya digantung mahupun dipecat Umno berikutan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini.

Ini kerana, katanya, terdapat beberapa pemimpin lain sebelum ini juga tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri dan akhirnya digantung terus oleh parti menerusi keputusan MKT.

Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda Umno itu memaklumkan setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang komunikasi daripada Lembaga Disiplin untuk memberi keterangan atau alasan mengapa beliau perlu dipecat mahupun digantung.

“Saya belum terima apa-apa surat daripada Lembaga Disiplin. Belum ada apa-apa pun dan tiada percubaan dari mana-mana pihak untuk menghubungi saya,” katanya.

Beliau berkata, proses berkaitan disiplin perlu melalui Lembaga Disiplin, namun MKT sudah banyak membuat keputusan secara unilateral.

“MKT sendiri buat keputusan secara langsung tanpa merujuk kepada Lembaga Disiplin. Contohnya Tajuddin Abdul Rahman, Ketua Umno Alor Setar (Mohd Yusof Ismail) mereka terus digantung.

“Jadi, saya tidak terkejut jika saya tidak dirujuk dan mereka bangkitkan isu saya serta rakan-rakan yang lain,” katanya, menurut Utusan Malaysia.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukan sahaja soal status Khairy akan dibincangkan, malah nasib beberapa individu lain yang dilihat mensabotaj parti pada PRU15 turut akan diputuskan MKT.

Ditanya pemberita berapa ramai lagi pemimpin atau ahli Umno yang bakal dipecat atau digantung, Zahid berkata, ini akan didedahkan selepas mesyuarat MKT.

“Bila (pembersihan) besar-besaran, maknanya adalah (yang akan dipecat), mana terasa atau belum terasa insya-Allah esok malam (malam ini) akan terasa,” katanya.

Mengulas lanjut tentang kemungkinan berdepan penggantungan, Khairy berkata, beliau menunggu sehingga keputusan dibuat, selain menegaskan sebarang tindakan disiplin ahli mestilah melalui Lembaga Disiplin.

“…maksudnya beri surat tunjuk sebab, panggil untuk beri keterangan, mesti bersidang dan hasil perbincangan dari keterangan yang diberi ahli, barulah Lembaga Disiplin buat keputusan, dibawa ke pengurusan parti dan akhirnya Majlis (Kerja) Tertinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.