Beting Patinggi Ali milik Malaysia, tak iktiraf sebarang tuntutan, kata kementerian

Beting Patinggi Ali milik Malaysia, tak iktiraf sebarang tuntutan, kata kementerian

Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.

Dari sudut geografi Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika dari pantai Miri, Sarawak dan dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan menjelaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada pihak lain memandangkan ia dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Kementerian dalam kenyataan hari ini memaklumkan dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

“Kedaulatan negara akan terus dipelihara dan sentiasa menjadi keutamaan kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” menurut kenyataan itu bagi menjelaskan laporan media pada 25 Jan lepas mengenai tuntutan kawasan Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Pada Rabu lepas, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan menegaskan ATM mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali.

Beliau dilapor berkata, langkah berkenaan diambil adalah untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China dan penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa kapal peronda kelas – Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Kelantan berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.