Audit belanja calon pilihan raya, kata bekas pegawai SPR

Audit belanja calon pilihan raya, kata bekas pegawai SPR

Bekas timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar mencadangkan semua perbelanjaan calon diaudit oleh pengaudit berdaftar sebelum dihantar kepada badan itu.

Suasana di pusat penamaan calon ketika PRU15 pada November tahun lepas.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencadangkan peraturan lebih ketat berhubung perbelanjaan kempen pilihan raya.

Wan Ahmad Wan Omar, yang berkhidmat sebagai timbalan pengerusi dari 2004 hingga 2013, berkata perbelanjaan calon sepatutnya diaudit oleh pengaudit berdaftar, sebelum dihantar kepada SPR.

Pada masa ini, walaupun ada had siling bagi perbelanjaan calon ketika berkempen, namun tiada audit dilakukan melainkan ada aduan dibuat oleh calon yang kalah atau pengundi.

Beliau berkata, ini bermakna calon boleh mengemukakan sebarang jumlah atau barangan sekadar memenuhi syarat menghantar penyata perbelanjaan.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan calon tidak boleh berbelanja melebihi RM100,000 dalam kempen pilihan raya DUN dan tidak lebih RM200,000 bagi pilihan raya Parlimen.

“Kita mesti mewajibkan penyata diaudit untuk memastikan jumlah dikemukakan benar.

“Jika tidak, orang akan ambil mudah penyata akaun itu,” kata Wan Ahmad kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar had dikenakan terhadap perbelanjaan parti politik ketika pilihan raya bagi membendung amalan rasuah dan sogokan.

Wan Ahmad berkata, had boleh dikenakan, namun isunya berkisar mengenai kepatuhan kepada peraturan.

Pengerusi Bersih Thomas Fann menyokong gesaan Wan Ahmad, sambil menyatakan SPR boleh sama ada mengaudit penyata perbelanjaan sendiri atau mewajibkan penyata itu diaudit oleh firma bertauliah.

“SPR mesti memaparkan penyata perbelanjaan bagi tatapan orang awam dalam laman web mereka, jadi orang awam boleh meneliti akaun berkenaan,” katanya.

Fann berkata, menghadkan perbelanjaan parti politik ketika kempen juga penting, memandangkan mereka boleh berbelanja lebih daripada had sedia ada bagi calon dalam usaha mempengaruhi pengundi.

“Tindakan itu menjadikan gelanggang pilihan raya tidak sekata kerana ia akan melemahkan parti politik kecil dan calon bebas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.