
Beliau berkata, daripada jumlah itu 19.58% permohonan diluluskan, manakala 125,156 lagi sedang diproses.
Katanya, berdasarkan data empat hari pertama pelaksanaan pelan itu, permohonan majikan yang direkodkan ialah sebanyak 765, melibatkan keperluan 56,622 pekerja asing dengan 30,465 permohonan diluluskan.
“Jabatan Imigresen telah mengutip jumlah bayaran levi sebanyak RM6,147,360 daripada 93 majikan, melibatkan 3,999 orang pekerja asing di pelbagai sektor sejak pelaksanaan pelan itu sehingga semalam,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Dalam Negeri.
Saifuddin berkata, Kementerian Sumber Manusia memerlukan tiga hari untuk menilai ketulenan permohonan yang dikemukakan oleh majikan di bawah pelan itu, sebelum kelulusan diberikan.
Beliau berkata, antara penilaian ringkas yang diteliti ialah kelayakan sektor kritikal yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara iaitu pembinaan, perkhidmatan khusus untuk subsektor restoran, perkilangan, perladangan dan pertanian.
“Turut diberikan penekanan ialah keabsahan majikan sama ada benar-benar wujud perusahaan yang memohon pekerja asing atau tidak, termasuklah penilaian status perusahaan bagi mengelakkan berlakunya cubaan agensi penyumberluaran yang tidak bertanggungjawab, mengambil kesempatan atas kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.
Saifuddin berkata, perbincangan telah diadakan dengan duta dan pesuruhjaya tinggi seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal bagi mendapatkan komitmen daripada negara-negara sumber utama itu untuk memastikan kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan penggajiannya berjalan lancar.
Pelaksanaan semula program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, merupakan antara dua perkara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 10 Jan.
Menerusi pelan itu majikan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.