
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Heisham Harun, lelaki terbabit ditahan 3 petang semalam di Balai Polis Sentul selepas membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.
Heisham berkata, warga emas terbabit itu bekerja sebagai pemandu van dan mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau.
“Dia akan direman esok (hari ini) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menakutkan secara jenayah.
“Lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat di tempat awam,” katanya dalam kenyataan malam tadi, menurut Bernama.
Beliau berkata sebelum itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 25 tahun membuat laporan polis jam 2 petang selepas tidak berpuas hati dengan tindakan seorang lelaki yang mengetuk cermin dan membaling batu ke arah keretanya.
Katanya, kejadian itu berlaku di lampu isyarat Jalan Metro Prima 1, Kepong di sini pada 28 Dis lepas.
“Sebelum kejadian, mangsa memandu kereta di Jalan Metro Prima dan terdapat sebuah lori menghalang laluannya. Suspek yang berada di belakangnya membunyikan hon dan memaksanya meneruskan pemanduan selain memaki hamun.
“Dia tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengangkat tangan sebelum beredar. Namun suspek datang ke keretanya ketika berada di lampu isyarat sambil membawa batu bata sebelum mengetuk cermin hadapan dan kanan serta membalingnya ke arah bumbung kereta,” katanya.