Tolak pelawaan PAS, KJ pilih setia dengan Umno

Tolak pelawaan PAS, KJ pilih setia dengan Umno

Bekas ketua Pemuda Umno itu mengucapkan terima kasih atas pelawaan PAS untuk beliau menyertai Perikatan Nasional.

Khairy Jamaluddin berkata beliau selesa untuk terus menjadi ahli biasa dan kekal dalam Umno.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menolak pelawaan PAS untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dan memilih terus setia dalam Umno sebagai ahli biasa.

Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno mengucapkan terima kasih atas pelawaan itu.

“Saya ucap terima kasih atas pelawaan PAS untuk sertai Perikatan Nasional tetapi saya masih setia sebagai ahli biasa Umno,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata PN dan PAS sedia menerima Khairy jika beliau dilucutkan keahlian oleh Umno.

Katanya, bekas menteri kesihatan itu bebas memilih untuk menyertai mana-mana parti dalam komponen PN.

Semalam, media melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijangka membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap Khairy Jumaat ini.

Ia susulan dakwaan Khairy bahawa beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Menerusi satu video di TikTok, Khairy berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan “import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.