
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata sebagai ahli Lembaga Eksekutif bagi rantau Pasifik Barat, penyertaan Malaysia ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO sesi ke-152 itu penting memandangkan platform berkenaan menyediakan ruang perbincangan bersama ahli Lembaga Eksekutif lain demi kepentingan sektor kesihatan sejagat.
“Selain itu, Malaysia juga akan mengetengahkan isu-isu kesihatan signifikan yang bukan sahaja melibatkan negara, malah negara anggota rantau Pasifik Barat.
“Selain menaikkan imej negara di persada global, kerjasama yang berterusan ini akan diterjemahkan sebagai usaha Malaysia dalam membangunkan sektor kesihatan secara holistik di dalam negara mahupun di Rantau Pasifik Barat,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menghadiri mesyuarat di Geneva, Switzerland yang turut diiringi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ia merupakan lawatan rasmi Zaliha ke luar negara selepas menjawat jawatan berkenaan.
Mesyuarat Lembaga Eksekutif adalah mesyuarat berkala yang dihadiri Menteri-Menteri Kesihatan, Ketua-Ketua Pengarah Kesihatan dan pakar dalam bidang berkaitan untuk membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.