Isu HDB: Jangan kerana menteri bukan Melayu kamu bersangka buruk, Raja Bahrin tegur PN

Isu HDB: Jangan kerana menteri bukan Melayu kamu bersangka buruk, Raja Bahrin tegur PN

Bekas timbalan menteri perumahan, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata Singapura dan Malaysia mempunyai banyak persamaan.

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata banyak perkara positif yang boleh Malaysia pelajari daripada pakar-pakar perumahan HDB.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan meminta Perikatan Nasional tidak bersangka buruk dan membuat tuduhan melulu terhadap usaha kerajaan belajar daripada pakar perumahan Singapura untuk membangunkan perumahan mampu milik.

Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sistem perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura (HDB) diketahui sesuai dan praktikal untuk dipelajari kerana persamaan antara kedua-dua negara, dari segi profil etnik, cuaca, dan sistem pembinaan.

Beliau berkata, banyak perkara positif yang boleh Malaysia pelajari daripada pakar-pakar perumahan HDB.

“Bagai hendak runtuh langit kritikan politik dari PAS dan PPBM menuduh adanya agenda perkauman dan penindasan orang Melayu-Islam,” katanya dalam kenyataan.

“Jangan lah kerana menteri bukan seorang Melayu, dan Singapura majoritinya bukan Melayu, pihak pembangkang bersangka buruk dan menuduh melulu.”

Sebelum ini, HDB turut diperhatikan menteri terdahulu, Zuraida Kamaruddin, yang dilapor mahu membawa konsep perumahan itu ke Malaysia.

Dalam wawancara BERITAMediacorp pada Jul 2018 itu, Zuraida berkata beliau “amat tertarik” dengan sistem perumahan Singapura dan menyifatkan ia sebagai contoh yang baik.

Mutu perumahan Singapura diakui Raja Kamarul, yang berkata penghuni HDB tidak perlu keluar daripada pangsapuri HDB kerana dilengkapi pelbagai kemudahan.

Beliau percaya golongan kurang berada, yang kebanyakan orang Melayu, akan mendapat manfaat daripada sistem perumahan yang bermutu, jika pengajaran daripada HDB Singapura dilaksanakan di Malaysia.

“Apakah usaha bawah kerajaan PN sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini?” soalnya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata kerajaan Singapura bersetuju untuk meminjamkan pakar-pakar HDB untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan mereka dengan kementerian.

“Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan,” katanya dalam wawancara Astro Awani, dan menambah kementerian juga belajar amalan terbaik daripada beberapa negara lain, seperti Jepun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.