Amanah sedia terima bekas pemimpin Umno, tapi ada syarat

Amanah sedia terima bekas pemimpin Umno, tapi ada syarat

Pengerusi Amanah Terengganu berkata, bekas pemimpin Umno perlu menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan mereka mahu menyertai parti itu.

Raja Kamarul Bahrin Shah dalam nada sindiran mencadangkan pemimpin PAS melompat ke Umno untuk membantu parti itu yang kehilangan sebahagian pemimpin kanannya.
KUALA LUMPUR:
Amanah sedia menerima bekas pemimpin Umno, tetapi mereka perlu menunjukkan “keikhlasan”, kata Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

“Kita terbuka. Ada pemimpin-pemimpin Umno, kalau mereka betul-betul sedar Umno tidak boleh lagi meneruskan perjuangan untuk negara, saya rasa tiada masalah.

“Kita tidak menutup pintu sepenuhnya, tetapi lihat pada situasi. Kalau nampak keikhlasan dan kesungguhan, insya Allah tiada masalah,” kata pengerusi Amanah Terengganu itu selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Abrorikultur Kuala Lumpur, hari ini.

Tiga pemimpin Umno meninggalkan parti itu dalam tempoh seminggu dan Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen, selepas 5 ahli Parlimennya keluar parti sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno pada 18 September lalu, selepas lebih 40 tahun bersama parti itu kerana hala tuju Umno tidak lagi selari dengan perjuangannya.

Ia diikuti Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman keesokannya dan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, Isnin lalu.

Raja Bahrin turut menyindir pemimpin PAS supaya “berhijrah” ke Umno bagi membantu parti itu yang dalam keadaan kritikal, selepas ramai pemimpinnya keluar parti.

Katanya, ia adalah langkah tepat untuk membuktikan kerjasama 2 parti itu.

“Sekarang ini kalau ramai pemimpin Umno sudah keluar, patutnya PAS tolong mereka, sebahagian daripada pemimpin mereka patut masuk Umno.

“Macam Pakatan Harapan (PH), bila kita bekerjasama, kita ada satu gabungan PH, tetapi Umno-PAS nak berbaik, tetapi tiada komitmen.”

Dua parti pembangkang secara terbuka menyokong satu sama lain dan berkempen dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis serta Seri Setia, baru-baru ini.

PAS turut memberi bayangan akan wujud gabungan parti bersama Umno selepas ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.