Hentikan diskriminasi, kata ibu bapa selepas kontroversi bengkel SPM di JB

Hentikan diskriminasi, kata ibu bapa selepas kontroversi bengkel SPM di JB

Ramai ibu bapa berkata mereka takut dengan akibat yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka jika bercakap mengenai perkara itu.

Kementerian Pendidikan berkata bengkel SPM itu tidak bersifat diskriminasi dan diadakan untuk semua pelajar.
PETALING JAYA:
Ibu bapa kepada pelajar yang dikecualikan daripada bengkel SPM membabitkan pelajar Islam di sebuah sekolah di Johor Bahru menggesa amalan diskriminasi itu dihentikan.

Bercakap kepada FMT, ibu bapa pelajar SMK Infant Jesus Convent yang enggan dinamakan itu berkata, banyak komen di media sosial mengenai isu tular itu mempunyai persamaan.

“Jika anda melihat satu persamaan pada bahagian komen di kebanyakan portal berita, ramai yang berkata ‘Oh, perkara seperti ini selalu berlaku’.

“Tetapi adakah itu bermakna semuanya baik-baik saja? Adakah itu bermakna kita harus berdiam diri? Apabila orang seperti saya menyuarakannya, kami dianiaya kerananya,” katanya

FMT cuba menghubungi ibu bapa lain yang terjejas, tetapi kebanyakannya memilih untuk tidak mengulas kerana takut kesan yang bakal menimpa anak mereka menjelang peperiksaan SPM yang bermula 30 Jan.

“Saya bimbang tentang kesan yang mungkin dihadapi oleh anak perempuan saya kerana SPM tidak lama lagi,” kata seorang ibu bapa.

“Saya kecewa dengan ketidakadilan, tetapi ini bukan sesuatu yang baru.”

23 Jan lalu, seorang pengguna Twitter @sangria200 menyiarkan tangkap layar perbualan WhatsApp dalam kumpulan sembang sekolah di mana ibu bapa mendakwa sekolah berkenaan telah mendiskriminasi pelajar bukan Islam dengan mengadakan bengkel SPM hanya untuk pelajar Islam di sebuah hotel pada 19 dan 20 Jan.

Sebagai maklum balas, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata bengkel itu tidak bersifat diskriminasi dan dilaksanakan untuk semua calon SPM.

KPM berkata bengkel itu dipecahkan kepada sesi berbeza bagi mengelak gangguan persiapan pelajar yang menyambut Tahun Baharu Cina, sambil menambah bahawa kelas untuk bukan Islam akan diadakan hari ini dan esok di hotel yang sama.

Kementerian juga berkata bengkel itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa lain serta pihak berkepentingan swasta.

Di sebalik dakwaan kementerian dan pengetua bahawa bengkel itu hanya untuk pelajar Islam berprestasi rendah, difahamkan pelajar Islam yang menunjukkan prestasi cemerlang turut menghadiri bengkel dua hari itu.

Kata ibu bapa berkenaan lagi, penjelasan pengetua semasa mesyuarat dan “cerita” yang beliau berikan dalam kumpulan sembang WhatsApp, tidak sepadan.

Dalam kumpulan sembang itu, pengetua berkata hanya pelajar Islam yang gagal atau tidak cemerlang dalam pelajaran menghadiri bengkel terbabit, sambil menambah bengkel itu dianjurkan memandangkan pihak sekolah bimbang dengan sebilangan pelajar Melayu yang kurang cemerlang.

“Namun mereka tidak pernah memberikan angka berapa ramai pelajar bukan Melayu yang gagal dan mereka tidak pernah menyebut bengkel lain akan diadakan,” kata ibu bapa itu.

Ketika dihubungi, pengetua sekolah terbabit, Ande Noor Munawarah Bachok, memilih untuk tidak mengulas kerana KPM sudah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Johor, Said Daimon turut enggan mengulas ketika dihubungi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.