Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 akan manfaat 2,000 usahawan PMKS

Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 akan manfaat 2,000 usahawan PMKS

Kemudahan dana itu merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek, termasuk kos pendrafan paten, kata Salahuddin Ayub.

Dana MyIPO itu diharapkan dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.
PUTRAJAYA:
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta untuk dimanfaatkan 2,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub berkata, kemudahan dana itu merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek, termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti pendrafan paten.

Salahuddin ketika berucap melancarkan dana itu di sini hari ini berkata, menerusi dana itu, kerajaan juga akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, hak cipta, dan reka bentuk perindustrian.

“Diharapkan dana ini dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara,” katanya.

MyIPO sebelum ini menawarkan dana sama bernilai RM2.5 juta bagi tempoh 2016 hingga 2020 yang telah memberi manfaat kepada 1,465 usahawan.

Beliau berkata, pembahagian Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 bergantung kepada jenis perkhidmatan yang diperlukan usahawan, contohnya untuk pemfailan cap dagangan atau draf paten.

Katanya, permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://tinyurl.com/DanaIP2bagiTahun2023 atau mengunjungi cawangan MyIPO berdekatan bagi permohonan manual.

Dalam sidang media selepas pelancaran, Salahuddin mengulas mengenai situasi penggiat seni, khususnya artis senior yang tidak mendaftarkan hasil karya mereka sehingga terpaksa menanggung kerugian kerana tidak mendapat royalti sepatutnya.

“Negara kita agak ketinggalan dari segi bagaimana paten hasil kreatif berbentuk harta intelek perlu dikomersialkan,” katanya.

“Setiap rakyat yang memiliki kapasiti melahirkan harta intelek perlu mendaftarkan produk mereka supaya dapat diberikan perlindungan undang-undang, pada masa sama mengkomersialkan produk dan meningkatkan pendapatan masing-masing.”

Beliau turut menasihatkan penggiat seni yang masih belum mendaftarkan hasil karya mereka untuk tampil dan berurusan dengan MyIPO.

Tahun lepas, MyIPO menerima sebanyak 329,917 permohonan harta intelek dari dalam dan luar negara, termasuk 128,822 permohonan bagi harta intelek tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.