20 pejabat pengeluar pasport dibuka setiap hari bermula esok

20 pejabat pengeluar pasport dibuka setiap hari bermula esok

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu antara usaha bagi mengatasi kesesakan di kaunter Imigresen.

Pejabat pasport KLIA akan turut beroperasi sebagai pejabat pengeluar pasport bagi kes segera dan kecemasan selain daripada permohonan biasa, kata Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 20 Pejabat Pengeluar Pasport selain daripada Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi tujuh hari seminggu bermula esok sebagai antara usaha mengatasi kesesakan di kaunter Imigresen.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata selain itu, mesin pencetak pasport di pejabat yang sesak dan mempunyai kadar pengunjung tinggi juga akan ditambah.

Selain itu, katanya pejabat pasport Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) akan turut beroperasi sebagai Pejabat Pengeluar Pasport bagi kes segera dan kecemasan selain daripada permohonan biasa.

“Langkah awal lain yang turut diambil adalah penambahbaikan sistem temu janji dalam talian yang akan diberi tarikh dan masa berserta nombor giliran,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau malam tadi.

Menurut Saifuddin semua langkah awal bagi mengatasi kesesakan di kaunter Imigresen itu diputuskan pada mesyuarat khas petang semalam.

Mengenai isu kesesakan melibatkan pelawat asing di KLIA, Saifuddin berkata ia berpunca daripada ketibaan kira-kira 20 hingga 26 pesawat secara serentak dalam jarak masa antara lima hingga 10 minit ketika waktu puncak.

Katanya, pemeriksaan berdasarkan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan pelancong asing tulen yang memenuhi syarat Pas Lawatan Sosial sahaja dibenarkan masuk, juga antara faktor kesesakan itu berlaku.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan mengkaji perluasan penggunaan pagar automatik (autogate) kepada pelawat dari 10 negara berisiko rendah selain mewujudkan dua kumpulan ‘Quick Response Team’ (QRT) yang mula beroperasi 1 Feb bagi membantu pegawai di kaunter semasa waktu puncak.

“Saya menghargai peranan pegawai-pegawai Jabatan Imigresen Malaysia yang memberikan komitmen dalam tugasan ini dan saya mengalu-alukan cadangan serta pandangan masyarakat bagi mencari jalan keluar agar isu ini tidak dibiarkan berterusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.