Selaraskan pendidikan seks, kata bekas KP LPPKN

Selaraskan pendidikan seks, kata bekas KP LPPKN

Aminah Abdul Rahman berkata ia tidak perlu dibezakan mengikut agama, etnik atau geografi.

Pendidikan seks harus menangani isu biasa mana-mana kanak-kanak tanpa mengira jantina atau status, kata bekas ketua pengarah LPPKN.
PETALING JAYA:
Pendidikan seks perlu diselaraskan secara menyeluruh dengan mengambil kira sensitiviti kumpulan sasar, kata bekas ketua pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Aminah Abdul Rahman, yang kini pemegang amanah di Yayasan OrphanCare, berkata tidak ada keperluan untuk modul khusus demi memenuhi perbezaan agama, etnik atau geografi.

“Saya tidak fikir perlu ada satu set untuk luar bandar dan satu set lagi untuk bandar, atau untuk etnik atau agama. Itu adalah perkara yang sukar untuk dilakukan dan ia tidak sepatutnya didekati dengan cara itu.

“Tetapi ia sudah begitu sejak beberapa tahun lalu,” katanya merujuk kepada modul pendidikan seks sebelum ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan Pendidikan melalui LPPKN.

Komen Aminah dibuat susulan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri yang berkata kementeriannya akan mengadakan pertemuan dengan kementerian berkaitan mengenai pelaksanaan pendidikan seks untuk kanak-kanak.

Nancy dilaporkan berkata, pihaknya mahu melibatkan Kementerian Pendidikan; Kesihatan; Perpaduan Negara, Belia dan Sukan; dan Pembangunan Kerajaan Tempatan serta menteri hal ehwal agama.

Aminah menegaskan bahawa pendidikan seks harus menangani isu biasa mana-mana kanak-kanak tanpa mengira jantina atau status.

“Terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh golongan belia. Malah dalam kalangan kumpulan LGBTQ+ mungkin terdapat beberapa isu yang perlu mereka ketahui seperti hak mereka, perkara yang boleh dan tidak boleh diterima, atau bahaya membuat keputusan tanpa maklumat.

“Jadi, pada saya, sukatan pelajaran harus memenuhi semua keperluan,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata perubahan diperlukan berhubung pendidikan seks.

Salah satunya adalah untuk menyediakan kontraseptif kepada orang yang belum berkahwin, terutamanya mereka yang berada dalam kedudukan terdedah penderaan seksual, kurang upaya mental, atau untuk mengelakkan hubungan sumbang mahram.

“Setiap negara adalah unik, bagaimanapun, negara yang banyak melabur dalam kontraseptif nampaknya mengawal keadaan dengan lebih baik dan dengan itu menikmati kejayaan mengurangkan hasil negatifnya,” kata Noor Azimah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.