
Noor Suhana Ishak pembantu Ahli Parlimen DAP Bentong, Young Syefura Othman dipanggil untuk disiasat di IPD Sentul.
Setiausaha akhbar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Farhan Iqbal dipanggil memberi keterangan di IPD Putrajaya.
Perkara itu disahkan Suhana dalam hantaran di Twitter miliknya sebentar tadi.
Katanya, beliau dan Farhan akan disiasat kerana membuat jenayah fitnah dan menyalahgunakan kemudahan internet.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen DAP Jelutong RSN Rayer menggesa polis dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi penjelasan mengapa Suhana disiasat kerana kenyataan di Twitter itu.
“Sepatutnya polis menyiasat sama ada berlaku atau tidak kekecohan ketika ceramah yang dianjurkan Muda pada tahun lalu dan siapa yang memulakan kekecohan itu.
“Mengapa polis membuang masa dan sumber dengan menyiasat Suhana?,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Muda Luqman Long juga terkejut dengan keputusan polis untuk memanggil Suhana yang membuat laporan selepas insiden itu berlaku.
“Sebenarnya kekecohan itu juga menjadi satu provokasi apabila beberapa orang cedera kerana dibaling objek oleh kumpulan tersebut.
“Pada saya, polis sepatutnta memfokuskan dalang disebalik provokasi itu,” katanya.
Dalam hantaran di Twitter miliknya, Suhana berkata, beliau “dengar cerita” ahli Pemuda Umno yang mengganggu ceramah presiden Muda tersebut.
Bagaimanapun, dalam hantaran Twitter yang lain, Suhana menjelaskan bahawa beliau hanya dengar cerita bahawa Pemuda Umno dalang kekecohan itu.
Dalam video kejadian itu yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kumpulan 30 orang yang bermotosikal itu turut membuat bising dan menjerit memanggil Syed Saddiq sebagai penipu.
Anggota polis juga dilihat menghalang kumpulan itu daripada menghampiri lokasi ceramah.