Hadkan belanja parti ketika pilihan raya, kata Dr M

Hadkan belanja parti ketika pilihan raya, kata Dr M

Beliau menyifatkan pilihan raya umum pada November lalu sebagai “yang paling korup berbanding semua pilihan raya diadakan di Malaysia”.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tiada had terhadap jumlah yang boleh dibelanjakan dalam pilihan raya.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya had dikenakan terhadap perbelanjaan parti politik ketika pilihan raya bagi mengekang amalan korupsi dan rasuah.

Katanya, walaupun perbelanjaan untuk calon individu dihadkan kepada RM200,000 ketika tempoh kempen, tiada had dikenakan bagi perbelanjaan parti dalam pilihan raya.

“Apa yang berlaku kini adalah sogokan dan wang dibelanjakan untuk kempen (oleh parti) tiada had.

“Sudah terbukti bahawa seorang perdana menteri telah mencuri sejumlah besar wang untuk memberikan rasuah besar-besaran serta melaksanakan kempen yang menelan belanja tinggi.

“Akibatnya, parti yang tiada wang curi atau menentang rasuah langsung tiada peluang untuk menang,” katanya di Twitter.

Mahathir berkata, sumber dana parti perlu dipersoal, dan siasatan dilakukan jika calon atau parti berbelanja mewah.

Beliau menyifatkan pilihan raya umum pada November lalu sebagai “yang paling korup berbanding semua pilihan raya diadakan di Malaysia”.

“Hampir setiap calon yang menang telah berjaya kerana menawarkan sogokan besar dan partinya membelanjakan jutaan ringgit ketika berkempen.”

Mahathir kalah di Langkawi dalam pilihan raya umum baru-baru ini buat kali kedua dalam sejarah politiknya. Pada 1969 beliau kalah di Kota Setar kepada Yusof Rawa dari PAS.

Mahathir antara 369 calon yang hilang deposit dalam pilihan raya lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.