Aset kita cukup ‘pantau’ kapal China di Beting Patinggi Ali, kata menteri

Aset kita cukup ‘pantau’ kapal China di Beting Patinggi Ali, kata menteri

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata aset itu bukan saja membabitkan tentera laut malah sedia mengerahkan tentera udara dan darat.

Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang terletak di perairan utara Sarawak dan berada dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Malaysia mempunyai aset yang mencukupi untuk mengawasi kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak, kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

Beliau berkata, aset itu bukan saja membabitkan tentera laut malah sedia mengerahkan tentera udara dan darat.

“Kita awasi keadaan dan juga sedia letakkan aset kita di sana. Kita memantau keadaan dan meletakkan aset di sana supaya ia tidak menjadi ‘doktrin estoppel’ iaitu apabila anda meletakkan aset di sana (perairan) itu menjadi milik anda,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan kerja ke tapak pembinaan perumahan program Satu Anggota Satu Rumah (Sasar) tentera darat di Sungai Besi.

Mohamad berkata, penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.

Beliau bagaimanapun tidak menganggap kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan itu sebagai satu bentuk pencerobohan kerana ia adalah kawasan pertindihan.

“Jadi kita pun meletakkan aset di sana kerana ia kawasan pertindihan yang mana masing-masing akan cuba membuktikan itu adalah kawasan mereka.

“Begitulah masing-masing akan cuba membuktikan ia kawasan mereka dan kita pun akan buktikan dengan meletakkan aset di sana…aset kita lebih dari itu (mencukupi),” katanya.

Semalam, portal Sarawak News melaporkan kapal peronda kelas-Kedah milik tentera laut, KD Kelantan (PV175) dilaporkan kini berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) untuk memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.