
KPM dalam kenyataan berkata, laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan salah satu dari pelbagai perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.
“Pada 19 dan 20 Jan, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain.
“Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
KPM dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Jan bertempat di hotel yang sama,” katanya.
Semalam seorang pengguna Twitter @sangria200 mendakwa mendakwa sebuah sekolah di Johor Bahru mengadakan bengkel peperiksaan SPM dengan mengumumkannya hanya untuk pelajar mata pelajaran agama Islam sahaja.
Dia turut mendakwa bengkel itu meliputi mata pelajaran seperti kimia dan matematik tambahan dan pelajar bukan Islam langsung tidak dimaklumkan mengenainya.
KPM bagaimanapun menjelaskan, bengkel tersebut diadakan susulan dialog prestasi yang dibuat oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bharu.
Susulan daripada itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit beserta beberapa pihak lain menjalankan bengkel tersebut sebagai persediaan buat para pelajar menjelang peperiksaan SPM.
“Laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan perancangan pihak berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM,” katanya.
Bagi mengelakkan perkara sama daripada berulang, KPM berjanji akan meningkatkan prestasi komunikasi.