
Beliau berkata demikian pada wawancara bersama FMT: “Mereka mesti mempertimbangkan bahaya inkuiri sebegini.”
Menurut Ambiga, mengadakan inkuiri awam seperti merendahkan pentadbiran keadilan.
“Ini merupakan serangan kepada (pejabat) peguam negara,” katanya sambil menambah “tiada seorang peguam negara pun pernah diserang seperti itu.”
Ambiga yang juga presiden Majlis Peguam, berkata beliau percaya inkuiri terbabit ada hubung kait dengan tuduhan terhadap beberapa pemimpin Umno.
“Kita perlu lebih berwaspada agar kita tidak membayar harga yang tinggi demi melindungi kerajaan perpaduan,” katanya.
Sebelum ini, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan terkandung dalam buku Tommy Thomas, antaranya perbincangan dengan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, mengenai pelantikan ketua hakim, presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Buku berkenaan diterbitkan pada Januari 2021 mengundang kritikan sesetengah pihak, termasuk Peguam Negara Idrus Harun, peguam, ahli politik dan orang awam, membawa kepada sebilangan laporan polis dibuat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, dilaporkan berkata, inkuiri berkenaan fokus dalam menentukan kebenaran dan akan membuat syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan negara.
Thomas berkhidmat sebagai peguam negara bermula 2018 hingga 2020 dan beliau juga disiasat atas dakwaan hasutan selain kesalahan lain berkait dakwaan terkandung dalam buku tulisannya itu.