Penjawat awam antara 7 ditahan dalam rampasan ganja lebih RM2 juta

Penjawat awam antara 7 ditahan dalam rampasan ganja lebih RM2 juta

Sebanyak 823 ketulan mampat ganja seberat 840.729kg dirampas, yang boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih dadah, kata polis Pulau Pinang.

Ganja seberat 840.729kg bernilai RM2.1 juta yang dirampas dalam empat serbuan di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada 18 dan 19 Jan dipamerkan pada sidang media di IPK Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam dan merampas 840.729kg ganja bernilai RM2.1 juta dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Perak, Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lepas.

“Penahanan bermula pada 6.45 pagi ke atas tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth,” katanya pada sidang akhbar.

Beliau berkata, hasil penahanan itu, polis menyerbu kawasan letak kenderaan di Bukit Jambul kira-kira 25 minit kemudian dan merampas sejumlah ganja seberat 479.729kg bernilai RM1.1 juta yang disimpan di dalam sebuah kereta.

Katanya, pasukan polis turut menahan sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, Perak pada 7.44 pagi dan menahan tiga lagi lelaki di situ.

Shuhaily berkata, polis kemudian menyerbu kawasan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru pada 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diletakkan di situ lalu menemukan 10 guni plastik mengandungi 361kg disyaki ganja dalam kenderaan berkenaan.

Susulan itu, katanya, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam dan menahan seorang lagi lelaki pada 3.20 petang.

“Siasatan awal mendapati semua ganja pelbagai gred termasuk paling berkualiti itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

“Sindiket tersebut yang mempunyai rangkaian sindiket luar negara menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 823 ketulan mampat ganja seberat 840.729kg, yang kesemuanya bernilai RM2.1 juta, dan boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih dadah.

Menurutnya, kesemua lelaki itu berusia 24 hingga 29 tahun, dengan ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian, serta penganggur.

“Polis turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500. Lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya.

Semua yang ditahan direman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.